Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSambutan Hari Pekerja pada 1 Mei setiap tahun bukan sekadar tarikh cuti umum atau ruang untuk pekerja berehat daripada rutin harian. Hari tersebut sebaliknya menjadi medan untuk negara, organisasi, majikan dan masyarakat menilai semula makna kerja, nilai pekerja, serta sumbangan mereka terhadap pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
Dalam persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah, makna Hari Pekerja menjadi semakin mendalam kerana perbincangan tentang pekerja tidak lagi terbatas kepada soal hak, gaji, waktu bekerja dan keselamatan pekerjaan semata-mata. Sebaliknya, perbincangan tersebut turut merangkumi persoalan yang lebih besar, iaitu cara memastikan pekerja terus relevan, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Pada tahun 2026, persoalan ini menjadi semakin penting apabila dunia berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi akibat tekanan geopolitik, gangguan bekalan tenaga, peningkatan kos operasi, inflasi, serta kemunculan teknologi baharu.
Isu tenaga dan kos sara hidup menjadi antara tema utama sambutan Hari Pekerja tahun ini sejajar dengan kebimbangan global terhadap tekanan ekonomi semasa. Dalam keadaan tersebut, pekerja tidak lagi hanya dilihat sebagai pelaksana tugas, tetapi sebagai sebahagian daripada penyelesaian dalam menghadapi krisis tenaga dan ketidaktentuan ekonomi.
Pekerja sebenarnya merupakan aset strategik organisasi kerana mereka paling hampir dengan operasi harian, pelanggan, proses kerja dan masalah rutin organisasi. Mereka mengetahui punca pembaziran, ketidakcekapan penggunaan tenaga, serta ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan.
Oleh itu, tanggungjawab pekerja tidak seharusnya terhad kepada hadir bekerja, menyiapkan tugasan dan pulang mengikut waktu ditetapkan. Sebaliknya, pekerja perlu menjadi rakan strategik organisasi dengan menjadikan tugas harian sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kelestarian organisasi.
Dalam konteks ini, pekerja di bahagian operasi boleh mengenal pasti penggunaan mesin yang tidak cekap, pembaziran elektrik atau proses kerja bertindih yang meningkatkan penggunaan tenaga. Pekerja pejabat pula boleh menyumbang melalui penggunaan dokumen digital, pengurangan mesyuarat yang tidak perlu dan penjadualan kerja yang lebih sistematik. Pekerja dalam bidang pemasaran boleh membantu organisasi beralih kepada strategi digital yang lebih menjimatkan kos, manakala pekerja bahagian kewangan boleh mencadangkan sistem pemantauan kos tenaga yang lebih berkesan. Bahagian Sumber Manusia pula berperanan membina budaya organisasi yang menekankan kecekapan, penjimatan dan inovasi.
Krisis tenaga tidak seharusnya dilihat sebagai isu teknikal yang hanya perlu diselesaikan oleh jurutera atau pembuat dasar. Sebaliknya, isu tersebut menuntut perubahan sikap seluruh warga organisasi. Dalam organisasi yang matang, setiap pekerja perlu menjadi pemerhati, pemikir dan pencadang penambahbaikan. Budaya seperti ini memerlukan kepimpinan yang terbuka, komunikasi yang jelas dan penghargaan terhadap idea pekerja.
Pada masa yang sama, pekerja juga perlu keluar daripada mentaliti lama yang mengehadkan tugas mereka kepada senarai kerja rasmi semata-mata. Dalam era krisis, nilai pekerja bukan hanya diukur melalui kepatuhan, tetapi melalui keupayaan menyumbang kepada penyelesaian.
Sumbangan pekerja dalam menghadapi krisis tenaga juga berkait rapat dengan inovasi. Inovasi tidak semestinya bermaksud penciptaan teknologi yang rumit atau mahal. Dalam banyak keadaan, inovasi bermula dengan persoalan mudah seperti sama ada sesuatu proses kerja masih relevan, boleh dipendekkan atau boleh dijalankan dengan penggunaan tenaga yang lebih rendah. Pekerja yang berfikir secara inovatif membantu organisasi membina daya tahan kerana kekuatan organisasi bukan sahaja bergantung pada modal kewangan, tetapi juga pada modal insan.
Organisasi yang memiliki pekerja berpengetahuan, kreatif dan bersedia berubah lebih mudah menyesuaikan diri ketika krisis. Sebaliknya, organisasi yang dihuni pekerja pasif dan takut kepada perubahan akan terus terperangkap dalam kaedah lama walaupun persekitaran telah berubah.
Namun begitu, dalam membantu organisasi berkembang, pekerja juga perlu memikirkan kelangsungan kerjaya sendiri. Pekerja yang baik bukan sahaja membantu organisasi maju, tetapi memastikan dirinya turut berkembang seiring perubahan semasa.
Dunia pekerjaan hari ini berubah dengan pantas. Tugas yang dahulunya dilakukan sepenuhnya oleh manusia kini semakin banyak dibantu oleh mesin, automasi dan kecerdasan buatan (AI). Kemunculan AI membawa dimensi baharu dalam perbincangan tentang masa hadapan pekerjaan. AI digunakan dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, perakaunan, kesihatan, pemasaran dan perkhidmatan. Teknologi tersebut mampu membantu menghasilkan dokumen, menganalisis data, menyusun jadual kerja, mengesan ralat dan mempercepat pelbagai tugasan rutin.
Perubahan ini membawa dua kesan utama. Pertama, AI mampu meningkatkan produktiviti pekerja kerana mereka yang memahami penggunaan teknologi dapat bekerja dengan lebih pantas dan tersusun. Yang kedua, AI juga berpotensi menggantikan tugas rutin yang mudah diautomasi. Oleh itu, pekerja yang gagal meningkatkan kemahiran mungkin mendapati nilai tugas mereka semakin berkurangan dalam organisasi.
Namun begitu, ketakutan terhadap teknologi bukanlah jawapan. Sejarah pekerjaan manusia sentiasa dipengaruhi perubahan teknologi daripada era pertanian tradisional hinggalah kepada revolusi digital dan AI.
Setiap perubahan menghapuskan sebahagian pekerjaan lama, tetapi pada masa yang sama mewujudkan pekerjaan dan kemahiran baharu. Persoalannya bukan sama ada teknologi boleh dihentikan, tetapi sama ada pekerja bersedia berubah bersamanya.
Dalam keadaan ini, pekerja perlu membina ketahanan kerjaya, iaitu keupayaan untuk terus bernilai walaupun persekitaran kerja berubah. Ketahanan tersebut bukan hanya bergantung pada sijil akademik atau pengalaman lama, tetapi pada kesediaan untuk belajar semula, menerima kemahiran baharu dan memahami arah perubahan industri.
Pengalaman masih penting, namun pengalaman yang tidak diperkasakan dengan pengetahuan dan kemahiran baharu boleh menjadi liabiliti. Sebaliknya, pengalaman yang digabungkan dengan pembelajaran baharu akan menjadi kelebihan strategik.
Antara perkara penting yang perlu dikuasai pekerja termasuklah literasi digital dan literasi AI. Hal ini tidak bermaksud semua pekerja perlu menjadi pakar teknologi, tetapi mereka perlu memahami penggunaan teknologi dalam bidang masing-masing. Guru misalnya, perlu memahami AI dalam pengajaran, akauntan perlu memahami analitik data, manakala pekerja kilang perlu memahami sistem pengeluaran pintar.
Selain itu, pekerja juga perlu menguasai kemahiran berfikir secara kritis. Dalam dunia yang dibanjiri maklumat, nilai seseorang pekerja bukan lagi terletak pada kemampuan menghafal maklumat, tetapi pada kemampuan menilai maklumat secara tepat dan beretika. Walaupun AI boleh menghasilkan jawapan dan cadangan, manusia tetap diperlukan untuk memahami konteks sosial, budaya dan emosi di sebalik sesuatu keputusan.
Kemahiran menyelesaikan masalah dan komunikasi turut menjadi semakin penting. Dalam organisasi, masalah sebenar lazimnya melibatkan gabungan isu manusia, kos, proses dan teknologi. Oleh itu, pekerja yang mampu mengenal pasti punca masalah, serta mencadangkan penyelesaian akan sentiasa diperlukan.
Pada masa yang sama, keupayaan berkomunikasi secara jelas dan meyakinkan menjadi nilai tambah yang penting kerana idea yang baik tidak akan membawa manfaat jika gagal disampaikan dengan berkesan.
Dalam aspek pembangunan diri pula, pekerja perlu membudayakan pembelajaran sepanjang hayat. Pengetahuan dan kemahiran kini mempunyai jangka hayat yang semakin pendek.
Oleh itu, pekerja perlu sentiasa membaca, mengikuti latihan, menyertai kursus dan mencuba teknologi baharu. Pembelajaran tidak lagi boleh dianggap sebagai aktiviti sampingan, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada rutin profesional.
Di pihak majikan pula, cabaran masa hadapan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pekerja. Organisasi yang mahu pekerja lebih inovatif dan berkemahiran perlu menyediakan peluang latihan semula, serta peningkatan kemahiran. Pekerja tidak wajar hanya diberikan amaran bahawa AI akan menggantikan mereka tanpa dibantu menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.
Hubungan antara majikan dengan pekerja dalam era krisis perlu dibina atas semangat saling bergantung. Majikan memerlukan pekerja yang produktif dan inovatif, manakala pekerja memerlukan organisasi yang adil, serta menyediakan peluang untuk berkembang. Apabila kedua-duanya bergerak seiring, organisasi akan lebih kukuh menghadapi krisis tenaga, perubahan teknologi dan ketidaktentuan pasaran.
Hari Pekerja 2026 sewajarnya menjadi ruang untuk memperbaharui kefahaman tentang makna kerja. Kerja bukan sekadar aktiviti ekonomi, tetapi medan untuk manusia menyumbang, membina maruah diri dan memberikan nilai kepada masyarakat. Dalam era krisis tenaga dan transformasi teknologi, pekerja perlu menjadi lebih tangkas, celik teknologi dan bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan.
Teknologi bukan musuh pekerja, sebaliknya sebahagian daripada evolusi dunia pekerjaan. Yang berubah bukan hanya mesin dan sistem, tetapi juga jangkaan terhadap manusia. Dahulu kekuatan fizikal menjadi ukuran utama, kemudian kemahiran teknikal menjadi kelebihan, manakala hari ini gabungan kemahiran digital, pemikiran kritis, kreativiti dan keupayaan belajar menjadi penentu nilai pekerja.
Ternyata, semangat baharu Hari Pekerja perlu menekankan bahawa pekerja bukan mangsa perubahan, tetapi ejen perubahan. Pekerja bukan sekadar tenaga pelaksana, tetapi sumber idea, inovasi dan daya tahan organisasi.
Dalam dunia yang berdepan dengan krisis tenaga, AI dan ketidaktentuan ekonomi, masa hadapan bukan milik pekerja yang paling lama berkhidmat atau paling tinggi jawatannya, tetapi milik mereka yang paling bersedia untuk belajar, menyesuaikan diri dan terus memberikan nilai kepada organisasi, serta masyarakat.
Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob, Pensyarah di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.