Diterbitkan pada 7 Mei 2026, 15:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan berlaku gangguan teknikal melibatkan integrasi sistem antara MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia dengan sistem MySubsidi KPDN bagi April 2026.

Gangguan tersebut menyebabkan sebahagian pemegang kad flit di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) tidak menerima kuota subsidi bahan api bermula 1 Mei lalu.

Gangguan tersebut dikenal pasti melibatkan pengguna yang melakukan urusan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), pendaftaran kenderaan baharu, serta pertukaran hak milik kenderaan dalam tempoh 1 hingga 28 April 2026.

Pihak kementerian kini giat melaksanakan tindakan pembetulan dan semakan data bersama agensi berkaitan dengannya bagi memastikan proses penjanaan semula kuota subsidi dapat diselesaikan dengan segera.

Bagi mempercepat proses, pemegang kad flit (fleet card) yang terkesan diminta untuk mengemukakan maklumat syarikat, nombor pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), nombor pendaftaran kenderaan, serta tarikh urusan cukai jalan atau pendaftaran kenderaan.

Maklumat tersebut perlu dihantar melalui pautan khas (https://forms.gle/hQy1ZQZ2NZoBFJgeA) selewat-lewatnya pada 8 Mei 2026 (Jumaat) sebelum pukul 5.00 petang.

KPDN menjangkakan kuota bagi pemegang kad yang terkesan akan dapat dijana semula dalam tempoh antara 9 hingga 11 Mei 2026. Pihak kementerian menzahirkan kekesalan terhadap kesulitan yang timbul, serta menegaskan komitmen untuk memastikan penyaluran subsidi kepada golongan dan sektor yang layak terus dilaksanakan secara lancar dan teratur.

Sebarang aduan atau pertanyaan lanjut boleh disalurkan melalui Pusat Panggilan SKPS menerusi talian 03-8882 5893/5894/5923/6667/6331/6557 atau merujuk Portal MySubsidi di https://mysubsidi.kpdn.gov.my. KPDN akan terus memaklumkan perkembangan terkini berhubung dengan isu ini dari semasa ke semasa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi