Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — CIMB Bank Berhad memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melibatkan komitmen RM5 juta bagi tempoh tiga tahun untuk memacu pertumbuhan ekonomi inklusif di ibu negara menerusi inisiatif Moving KL Forward – Kita bagi Jadi Bersama DBKL x CIMB.
Kerjasama itu bertujuan menyokong perniagaan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui pengadaptasian digital, serta memperkasakan industri kreatif bagi merancakkan kegiatan ekonomi bandar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan usaha bersama dalam menjana manfaat ekonomi yang lebih bermakna dan inklusif kepada rakyat dengan potensi peluasan sehingga RM150 juta pada masa hadapan.
Pengerusi Kumpulan CIMB, YBhg. Datuk Syed Zaid Albar memaklumkan program yang dirancang akan menumpukan kepada pendigitalan PMKS dan pengaktifan ekonomi kreatif melalui penganjuran acara budaya, serta inisiatif seni awam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, kerjasama itu akan membuka lebih banyak peluang perniagaan, mengangkat bakat kreatif tempatan dan memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab ekonomi serantau.
Sementara itu, CIMB turut memperuntukkan RM3.6 juta bagi menyokong kira-kira 9,000 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) melalui inisiatif Santuni MADANI, serta melaksanakan program iTEKAD bagi meningkatkan pendapatan kumpulan sasar.