Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa dakwaan berhubung dengan permohonan umum bagi tambahan had subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) adalah tidak benar dan tidak berasas.
Dalam kenyataan mengenai isu itu, MOF memaklumkan bahawa fungsi berkenaan diwujudkan pada peringkat awal pelaksanaan BUDI95, namun bukan bertujuan untuk permohonan tambahan berdasarkan keperluan peribadi.
Sebaliknya, fungsi peningkatan had kelayakan hanya diperuntukkan bagi kes tertentu yang melibatkan operasi jelas dan disahkan seperti pemandu e-panggilan, serta pemilik bot tertakluk pada kriteria dan syarat ditetapkan.
Menurut kenyataan itu, fungsi permohonan tambahan dalam portal BUDI95 telah dinyahaktifkan berikutan jumlah permohonan peningkatan had kelayakan yang terlalu tinggi dalam tempoh singkat.
MOF turut memaklumkan bahawa had kelayakan BUDI95 sebanyak 200 liter sebulan kekal berkuat kuasa bagi memastikan penyaluran subsidi lebih bersasar kepada majoriti rakyat, di samping menjamin kestabilan bekalan.
Selain itu, data penggunaan menunjukkan had 200 liter sebulan mencukupi bagi 90 peratus pengguna BUDI95.
Pada kadar subsidi RM1.99 seliter, pengguna boleh memperoleh RON95 sehingga RM398 sebulan, manakala kerajaan menanggung kira-kira RM500 subsidi bagi setiap penerima.
“MOF akan terus melindungi kepentingan rakyat, memperkukuh penguatkuasaan bagi membendung ketirisan, serta memantau rapi perkembangan pasaran tenaga global, selain bersedia membuat penyesuaian sewajarnya,” menurut kenyataan tersebut.