Diterbitkan pada 7 April 2026, 09:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menganjurkan Sesi Libat Urus (SLU) Kajian Semula Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Program tersebut diadakan bagi memperkukuh dasar buruh negara dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, YBhg. Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.

SLU ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan kajian semula oleh Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) selaras dengan Akta MPGN 2011 yang menetapkan semakan gaji minimum dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun. Kajian berkenaan bermula pada Januari 2026 dan dijangka selesai pada September 2026.

Datuk Khairul Firdaus berkata, kerajaan sentiasa mengambil kira pandangan majikan bagi menjamin kelangsungan perniagaan sebelum sebarang keputusan berkaitan dengan gaji minimum dilaksanakan.

Beliau turut menegaskan bahawa SLU menjadi platform penting untuk menghimpunkan pandangan pelbagai pihak agar dasar yang digubal bersifat inklusif, berasaskan data, serta mencerminkan keadaan sebenar pasaran buruh negara.

Kira-kira 400 orang peserta terdiri daripada wakil majikan, pekerja, persatuan majikan dan kesatuan sekerja menyertai sesi di Putrajaya bagi membincangkan pelaksanaan gaji minimum, serta mengemukakan cadangan penambahbaikan.

Secara keseluruhan, sebanyak 21 lokasi di seluruh negara dijadualkan bagi sesi libat urus bermula 30 Mac hingga 29 April 2026.

Beliau berkata, PGM 2024 kekal sebagai instrumen penting dalam memastikan keseimbangan antara kebajikan pekerja dengan keupayaan majikan.

“Kadar gaji minimum semasa RM1,700 mencerminkan usaha kerajaan memastikan gaji minimum kekal relevan, responsif terhadap perubahan ekonomi, serta menyokong peningkatan taraf hidup rakyat dan produktiviti negara,” katanya ketika berucap di PICC semalam.

KESUMA turut merakamkan penghargaan kepada majikan yang mematuhi pelaksanaan gaji minimum, serta menegaskan komitmen berterusan untuk menggubal dasar yang lebih adil, mampan, di samping memperkukuh kesejahteraan pekerja dan daya saing ekonomi negara.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Sumber Manusia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi