Diterbitkan pada 13 April 2026, 08:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Amalan sedekah dan derma awam merupakan sebahagian daripada instrumen penting budaya sosial di Malaysia. Sumbangan kepada pesakit, mangsa bencana, pelajar kurang berkemampuan dan projek kebajikan komuniti mencerminkan sifat empati masyarakat terhadap golongan yang memerlukan.

Namun begitu, perkembangan teknologi digital dan media sosial mengubah landskap sedekah secara mendadak. Kutipan derma yang dahulunya dilaksanakan melalui organisasi formal kini boleh digerakkan oleh individu menerusi platform secara dalam talian, aplikasi pembayaran dan media sosial dengan capaian yang pantas, serta meluas.

Pertumbuhan pendanaan awam (crowdfunding) menunjukkan jumlah sumbangan di Malaysia mencecah sekitar USD5 juta pada tahun 2022, disumbangkan oleh lebih daripada 220,000 orang penderma melalui ratusan kempen kebajikan digital. Perkembangan ini meningkatkan penyertaan masyarakat dalam kegiatan kebajikan, namun pada masa yang sama menimbulkan persoalan baharu berkaitan dengan kawal selia, siapakah yang mengawal sedekah dalam ekosistem digital yang semakin berkembang ini?

Dalam sistem pentadbiran Islam di Malaysia, pengurusan zakat dilaksanakan secara formal di bawah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Institusi ini mempunyai kerangka undang-undang, struktur organisasi, prosedur operasi standard, serta laporan tahunan yang jelas. Kutipan dan agihan zakat berada dalam sistem yang tersusun dan dikawal selia.

Sebaliknya, sedekah dan derma awam tidak tertakluk pada satu kerangka kawal selia yang khusus. Tiada undang-undang yang mendefinisikan sedekah sebagai sektor yang perlu dikawal selia secara sistematik. Begitu juga tiada piawaian nasional yang menetapkan keperluan pelaporan kewangan, audit bebas, pendedahan kos pentadbiran atau pengukuran impak sosial. Jurang ini menjadikan sedekah sebagai aktiviti ekonomi sosial yang bergantung hampir sepenuhnya pada kepercayaan awam tanpa dukungan institusi yang kukuh.

Skala Sektor Kebajikan dan Sedekah Tidak Berdaftar

Isu tadbir urus sedekah menjadi lebih kompleks apabila dilihat daripada sudut skala sektor kebajikan. Mengikut data Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) setakat Februari 2026, terdapat 90,218 pertubuhan aktif di Malaysia. Daripada jumlah ini, 36 peratus atau sekitar 32,301 pertubuhan tergolong dalam kategori kebajikan.

Angka ini menunjukkan bahawa sektor kebajikan merupakan komponen besar dalam landskap pertubuhan negara. Walau bagaimanapun, tidak semua pertubuhan kebajikan mengurus kutipan derma awam secara langsung. Lebih membimbangkan, sebahagian besar aktiviti sedekah digerakkan oleh individu atau kumpulan tidak berdaftar melalui media sosial dan pelbagai platform digital.

Fenomena sedekah tidak berdaftar berlaku apabila kempen bantuan dilancarkan tanpa berada di bawah mana-mana organisasi yang mempunyai obligasi pelaporan atau audit kewangan. Dalam situasi ini, dana awam dikumpulkan tanpa mekanisme pemantauan rasmi, tanpa keperluan pendedahan penggunaan dana dan tanpa perlindungan undang-undang kepada penderma. Keadaan tersebut mewujudkan ruang kelabu dalam ekosistem kebajikan negara. Jumlah sebenar sedekah yang dikutip sukar dikenal pasti secara tepat, manakala tahap ketelusan bergantung sepenuhnya pada integriti pengumpul dana.

Ketiadaan badan kawal selia khusus membuka ruang kepada penyelewengan dana. Risiko ini bukan sekadar kebimbangan teori, malah terbukti melalui beberapa kes yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Antaranya termasuklah kes melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disyaki menyeleweng dana derma dengan sebahagian wang dipindahkan ke akaun peribadi, digunakan bagi tujuan lain, serta menyalahgunakan dana derma untuk misi kemanusiaan luar negara.

Terdapat juga kes melibatkan pempengaruh media sosial yang disiasat berhubung dengan dakwaan penyelewengan dana yang dikumpulkan melalui platform pembiayaan ramai. Kes ini bukan sahaja mendedahkan kelemahan tadbir urus semasa, malah menjejaskan kepercayaan awam terhadap aktiviti sedekah. Sekiranya masyarakat mula ragu terhadap sistem kutipan dana, golongan yang benar-benar memerlukan bantuan turut menerima kesan negatif.

Sedekah sebagai Komponen Ekonomi Sosial

Sedekah bukan sekadar amalan moral atau keagamaan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada ekonomi sosial negara. Dana derma awam berperanan menyokong sektor kesihatan, pendidikan, perumahan dan respons bencana. Dalam konteks tertentu, sedekah melengkapi peranan kerajaan dalam menyediakan jaringan keselamatan sosial.

Apabila diurus dengan baik, sedekah berpotensi mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan fiskal kerajaan serta menampung keperluan masyarakat yang tidak dapat dipenuhi sepenuhnya melalui bajet awam. Namun demikian, potensi ini hanya dapat direalisasikan melalui tadbir urus yang mantap bagi memastikan setiap sumbangan disalurkan secara berkesan, telus dan berintegriti.

Pengalaman antarabangsa menunjukkan bahawa sektor kebajikan memerlukan badan kawal selia khusus. Di United Kingdom, misalnya, terdapat Charity Commission for England and Wales yang bertanggungjawab mendaftarkan organisasi kebajikan, menetapkan piawaian pelaporan kewangan, menjalankan pemantauan dan siasatan serta menyediakan akses maklumat terbuka kepada masyarakat.

Dalam konteks Malaysia, penubuhan sebuah Suruhanjaya Kebajikan Malaysia wajar dipertimbangkan sebagai reformasi institusi. Antara fungsi utama badan tersebut termasuklah mewajibkan pendaftaran semua kempen derma awam dan organisasi kebajikan; menetapkan piawaian pelaporan kewangan serta audit tahunan; membangunkan mekanisme pemantauan dan saluran aduan terbuka; menyediakan perlindungan kepada penderma dan penerima manfaat; serta menyelaraskan pengurusan sedekah dengan ekosistem kewangan sosial negara seperti zakat dan wakaf.

Pendekatan ini dapat memastikan ketelusan dan akauntabiliti yang tinggi tanpa menjejaskan semangat kesukarelawanan masyarakat. Kesimpulannya, sedekah mencerminkan nilai kemanusiaan dan solidariti sosial yang kukuh dalam masyarakat Malaysia. Namun, perkembangan pesat kutipan derma secara digital dan tidak berdaftar menuntut pendekatan tadbir urus yang lebih tersusun dan berinstitusi.

Data menunjukkan sektor kebajikan melibatkan puluhan ribu pertubuhan, di samping pertumbuhan pembiayaan ramai yang semakin ketara. Jurang tadbir urus yang wujud bukan sahaja meningkatkan risiko penyalahgunaan dana, malah boleh menghakis kepercayaan awam secara menyeluruh.

Pemeliharaan amanah sosial dan jaminan bahawa sedekah benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan merupakan keperluan mendesak dalam ekosistem masa kini. Dalam dunia yang semakin kompleks, niat baik perlu disokong oleh sistem yang baik agar sedekah terus berfungsi sebagai instrumen pembangunan sosial yang mampan, telus dan berintegriti.

Dr. Amelia Nur Natasha Nazeri, Felo Pascakedoktoran di Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam, INCEIF University.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi