Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) memandang serius kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen seliter yang disifatkan memberikan kesan besar terhadap industri bas persiaran, serta berpotensi menjejaskan ekosistem pelancongan negara.
Presiden MATA, YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd. Khalid Harun berkata, kenaikan kos bahan api itu meningkatkan kos operasi pengusaha bas persiaran yang masih dalam fasa pemulihan selepas pandemik COVID-19.
Menurut beliau, industri bas persiaran bergantung sepenuhnya pada penggunaan diesel, khususnya bagi perjalanan jarak jauh melibatkan pelancong domestik dan antarabangsa, rombongan sekolah, sektor korporat, serta penganjuran acara.
Beliau menjelaskan bahawa kebanyakan tempahan bas dibuat lebih awal dengan kadar harga yang telah dipersetujui, menyebabkan pengusaha sukar menyesuaikan harga apabila kos bahan api meningkat secara mendadak.
Selain kos diesel, pengusaha juga perlu menanggung perbelanjaan operasi lain seperti penyelenggaraan kenderaan, gaji pemandu, tol, permit, serta insurans, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap aliran tunai syarikat.
MATA berkata, sekiranya keadaan ini berterusan, pengusaha bas persiaran mungkin terpaksa menaikkan kadar sewaan yang berpotensi menjejaskan kos pakej pelancongan, serta aktiviti pelancongan domestik.
Menurut Mohd. Khalid, peningkatan kos pengangkutan juga boleh memberikan tekanan kepada usaha memperkukuh industri pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Sehubungan dengan itu, MATA berharap kerajaan dapat mempertimbangkan langkah sokongan yang bersesuaian bagi membantu pengusaha pengangkutan pelancongan menangani peningkatan kos operasi dan memastikan kelangsungan industri bas persiaran.