Diterbitkan pada 20 Januari 2026, 09:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Senario yuran pengajian di universiti pada masa ini memperlihatkan trend peningkatan yang semakin ketara. Keadaan ini berkait rapat dengan kos yang tinggi untuk mentadbir dan mengurus institusi pendidikan tinggi, termasuk pembayaran gaji tenaga akademik berkelayakan tinggi, penyelenggaraan kemudahan kampus yang besar dan kompleks, pembiayaan aktiviti penyelidikan, penyediaan perkhidmatan pelajar, serta pematuhan kepada pelbagai peraturan. Secara asasnya, kos pendidikan berkualiti lazimnya tercermin melalui yuran pengajian yang dikenakan kepada pelajar.

Terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan yuran universiti. Pertama, kos fakulti yang tinggi. Universiti menggaji pensyarah dan profesor yang memiliki kelayakan akademik lanjutan seperti ijazah doktor falsafah yang secara langsung memerlukan struktur gaji lebih tinggi berbanding dengan tenaga pengajar pada peringkat pendidikan rendah dan menengah.

Kajian oleh Robert Harutyunyan dan rakan-rakan (2023) menunjukkan bahawa peningkatan gaji tenaga akademik dipengaruhi oleh permintaan terhadap fakulti berkelayakan tinggi, penekanan terhadap produktiviti penyelidikan, persaingan antara institusi, dasar kerajaan, serta faktor inflasi. Pensyarah yang memiliki ijazah lanjutan, khususnya doktor falsafah, lazimnya mempunyai potensi kenaikan gaji yang lebih ketara.

Selain kelayakan akademik, pertimbangan gaji turut dipengaruhi oleh kedudukan akademik seperti Profesor, Profesor Madya dan Penolong Profesor, bidang pengajian yang mempunyai permintaan industri tinggi seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), reputasi universiti, serta faktor lokasi geografi. Di kawasan bandar dan universiti berprestij, struktur gaji lazimnya lebih tinggi bagi menarik dan mengekalkan bakat terbaik.

Dalam masa yang sama, tenaga akademik juga berpeluang meningkatkan pendapatan melalui peningkatan kelayakan akademik, produktiviti penyelidikan, kecemerlangan pengajaran, serta pembangunan profesional berterusan. Penerbitan dalam jurnal bereputasi tinggi, pelibatan aktif dalam persidangan akademik dan peningkatan kemahiran pedagogi bukan sahaja meningkatkan kualiti pendidikan, malah memberikan implikasi langsung terhadap struktur ganjaran institusi.

Kedua, peningkatan kos penyelidikan. Universiti didorong untuk melabur secara besar-besaran dalam penyelidikan yang memerlukan peralatan khusus, makmal berteknologi tinggi, kakitangan penyelidikan, serta projek yang semakin kompleks.

Menurut Michael Kenward (2012) dan laporan National Center for Science and Engineering Statistics (2024), peningkatan kos penyelidikan berpunca daripada keperluan teknologi canggih seperti pengkomputeran berprestasi tinggi, kos buruh yang meningkat, kerumitan penyelidikan pelbagai disiplin, keperluan pematuhan etika dan keselamatan, serta kos penerbitan dalam jurnal bereputasi tinggi. Semua faktor ini meningkatkan perbelanjaan operasi universiti secara keseluruhannya.

Ketiga, penyelenggaraan infrastruktur kampus. Universiti perlu mengekalkan operasi kampus yang merangkumi bangunan, perpustakaan, kemudahan fizikal dan infrastruktur teknologi maklumat. Zeus Kerravala (2024) menjelaskan bahawa pemodenan infrastruktur universiti merupakan keperluan berterusan bagi menyokong kaedah pengajaran baharu dan keperluan pelajar, serta fakulti.

Pelaburan dalam penyimpanan awan, data raya, sistem pengurusan pembelajaran, platform persidangan video dan aplikasi kecerdasan buatan menuntut perbelanjaan yang besar. Walaupun transformasi digital memperluas akses dan fleksibiliti, universiti tetap perlu mengimbangi pembangunan ruang digital dengan penyelenggaraan kampus fizikal.

Keempat, penyediaan perkhidmatan pelajar. Universiti memberikan tumpuan besar pada perkhidmatan sokongan seperti kaunseling, nasihat kerjaya, pusat kesihatan, bantuan kewangan, kemudahan sukan dan aktiviti kokurikulum.

Kajian oleh Shaheen, Mahmood dan Shah (2020) menunjukkan bahawa perkhidmatan pelajar yang komprehensif menyumbang kepada kejayaan akademik, kesejahteraan mental dan pengalaman universiti yang positif. Namun demikian, peluasan perkhidmatan ini turut meningkatkan kos operasi institusi.

Kelima, keperluan peraturan dan pematuhan. Universiti perlu mematuhi pelbagai peraturan kerajaan berkaitan dengan akreditasi, keselamatan pelajar, penyelidikan, perlindungan data dan kewangan. Laporan oleh Brittany Hackett (2015) menganggarkan bahawa kos pematuhan dalam sektor pendidikan tinggi mencecah berbilion dolar setahun.

Kos ini merangkumi pemantauan dan pelaporan, pembangunan dasar, latihan kakitangan, pelaburan teknologi, audit, serta risiko penalti akibat ketidakpatuhan. Pematuhan berkaitan dengan penyelidikan sahaja dapat menyumbang sehingga satu perempat daripada keseluruhan perbelanjaan penyelidikan institusi.

Keenam, faktor permintaan pasaran. Dalam keadaan tertentu, universiti berupaya mengenakan yuran lebih tinggi bagi program yang mempunyai permintaan tinggi dan memerlukan sumber khusus seperti perubatan, kejuruteraan dan seni profesional. Program berorientasikan penyelidikan juga menanggung kos tambahan bagi penyelenggaraan makmal, peralatan dan kakitangan sokongan.

Walau bagaimanapun, kenaikan yuran pengajian bukanlah sesuatu yang tidak boleh ditangani. Universiti masih mempunyai ruang untuk mengurangkan beban kewangan pelajar melalui beberapa strategi antaranya termasuklah meningkatkan pembiayaan kerajaan, memperluas penawaran biasiswa dan geran, serta mengguna pakai langkah penjimatan kos seperti Sumber Pendidikan Terbuka (OER). Pendidikan secara dalam talian juga berpotensi mengurangkan kos kampus dan memperluas akses pendidikan tinggi.

Selain itu, perkongsian strategik dengan industri, pemindahan kredit dan kerjasama dengan kolej komuniti boleh membantu mengoptimumkan tempoh pengajian dan mengurangkan kos keseluruhan. Melalui pendekatan bersepadu antara universiti dengan kerajaan dan sektor industri, kelestarian kewangan pendidikan tinggi dapat dipertahankan tanpa menjejaskan akses dan kualiti pembelajaran.

Kesimpulannya, peningkatan yuran pengajian universiti merupakan manifestasi realiti kos pendidikan tinggi yang semakin kompleks. Cabaran utama bukan sekadar mengekang kenaikan yuran, tetapi mencari keseimbangan antara kualiti dengan akses dan kelestarian kewangan agar pendidikan tinggi kekal sebagai pemangkin pembangunan modal insan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Dr. Khairul Nizam Zainal Badri, Pensyarah di Pusat Pengajian Al Mansoorah.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi