Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKepesatan teknologi digital telah mengubah landskap pemasaran pada masa ini secara menyeluruh. Perubahan ini mendorong firma mengguna pakai strategi pemasaran digital secara meluas bagi memanfaatkan potensi teknologi dan kekal berdaya saing dalam pasaran. Melalui pemasaran digital, firma dapat melaksanakan pemasaran bersasar yang membolehkan mereka menembusi pasaran yang lebih luas, serta menghubungkan jenama dengan segmen pengguna secara lebih tepat dan efisien.
Namun demikian, di sebalik potensi besar untuk memacu kemajuan perniagaan, wujud pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan platform digital untuk tujuan jenayah. Ancaman yang semakin membimbangkan timbul apabila sindiket penipuan mula mengeksploitasi mekanisme yang sama seperti digunakan oleh pemasar sah untuk memperdaya pengguna.
Teknik penipuan seperti kewujudan kedai dalam talian palsu, pelaburan tidak wujud, serta penggunaan teknologi palsu asli (deepfake) yang berupaya memanipulasi imej atau video menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi meniru rupa dan suara seseorang dengan tahap ketulenan yang sangat tinggi kini semakin berleluasa.
Fenomena ini bukan sekadar isu jenayah siber, malah merupakan ancaman strategik terhadap integriti ruang dagang digital negara yang menggugat asas utama pemasaran, iaitu kepercayaan dan nilai. Apabila asas kepercayaan pengguna mula terhakis akibat tindakan sindiket penipuan, keseluruhan rantaian ekonomi digital akan terdedah kepada risiko ketidakstabilan yang serius. Oleh itu, fenomena pemasaran palsu perlu diteliti dari sudut ekonomi pemasaran dan tadbir urus digital bagi memahami implikasinya terhadap kepercayaan pasaran, serta kelestarian ekosistem ekonomi digital negara.
Manipulasi AI dan Psikologi Pemujukan
Sindiket penipuan masa kini tidak lagi beroperasi secara amatur. Sebaliknya, mereka mengadaptasi kaedah pemasaran profesional untuk menjerat mangsa melalui manipulasi emosi dan persepsi. Dari sudut pemasaran, sindiket ini terlibat dalam rampasan jenama, iaitu satu bentuk pencurian identiti yang menyalahgunakan reputasi syarikat atau tokoh sah bagi membina kredibiliti palsu.
Laporan akhbar sepanjang tahun 2025 menunjukkan peningkatan ketara penggunaan teknologi palsu asli di Malaysia bagi tujuan penyamaran tokoh korporat ternama dan selebriti. Sebagai contoh, video manipulasi wajah tokoh perbankan tempatan dikesan digunakan untuk mempromosikan skim pelaburan haram sehingga mengakibatkan kerugian mencecah jutaan ringgit.
Keberkesanan taktik ini berakar umbi pada eksploitasi psikologi pemujukan, khususnya manipulasi unsur kesuntukan masa melalui penciptaan tekanan berbentuk tawaran terhad yang memaksa mangsa membuat keputusan secara tergesa-gesa.
Selain itu, penggunaan bukti sosial seperti testimoni pelanggan palsu dan jumlah tanda suka yang dijana oleh perisian automatik digunakan untuk mewujudkan gambaran kredibiliti yang mengelirukan. Teknik ini mengeksploitasi bias autoriti, iaitu kecenderungan psikologi individu untuk mempercayai sesuatu maklumat yang disampaikan oleh tokoh berpengaruh.
Amalan ini jelas bercanggah dengan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 16 yang menekankan keamanan, keadilan dan perlindungan hak individu. Oleh itu, pemahaman terhadap mekanisme manipulasi ini amat penting bagi menjelaskan bagaimana teknik pemasaran yang sah boleh diselewengkan sehingga menjejaskan kepercayaan pengguna dan integriti pasaran digital secara menyeluruh.
Skala Krisis dan Ketirisan Ekonomi Nasional
Kerugian yang direkodkan akibat gejala pemasaran palsu bukan lagi isu terpencil, sebaliknya mencerminkan krisis ekonomi nyata yang berpotensi menggagalkan aspirasi Ekonomi MADANI dalam memperkasakan kesejahteraan rakyat.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), nilai kerugian mangsa pemasaran palsu dilaporkan melebihi RM1.9 bilion setakat September 2025 dengan hampir 48,000 kes direkodkan. Angka ini mencerminkan ketirisan modal, iaitu pengaliran dana keluar daripada ekonomi domestik ke tangan sindiket jenayah global yang sekali gus merencatkan kitaran tunai dan keupayaan pelaburan negara.
Ancaman ini diperkukuh lagi dengan penemuan lebih daripada 200,000 keldai akaun, iaitu akaun bank milik individu yang disalahgunakan oleh pihak ketiga untuk menyalurkan wang haram. Kewujudan infrastruktur jenayah yang tersusun bagi tujuan pengubahan wang haram membuktikan betapa seriusnya ancaman pemasaran palsu terhadap kestabilan pasaran tempatan.
Oleh itu, isu pemasaran palsu perlu ditangani bukan sekadar sebagai isu perlindungan pengguna, malah sebagai masalah ketirisan ekonomi nasional yang memberikan kesan langsung terhadap kestabilan kewangan, serta daya tahan ekonomi negara.
Implikasi terhadap Kepercayaan Pasaran dan Rantaian Nilai
Dari perspektif pemasaran, penipuan digital hasil manipulasi pemasaran digital berupaya merosakkan ekuiti jenama, iaitu nilai komersial dan maruah sesebuah jenama di mata pengguna. Apabila sindiket menyamar sebagai perniagaan sah, pengalaman negatif mangsa akan terpalit kepada jenama asal. Keadaan ini meningkatkan kos transaksi kerana firma yang jujur terpaksa melabur lebih besar dalam sistem pengesahan identiti dan keselamatan bagi meraih kembali kepercayaan pelanggan.
Selain itu, pemasaran palsu turut mewujudkan herotan pasaran (market distortion) apabila perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terpaksa bersaing dengan iklan palsu yang menjanjikan pulangan atau tawaran tidak realistik. Sebagai akibatnya, keseluruhan ekosistem pemasaran terjejas apabila pihak yang jujur menanggung beban kerugian akibat tindakan tidak bertanggungjawab sindiket penipuan.
Fenomena ini secara langsung merencatkan pencapaian SDG 9 yang menekankan pembinaan infrastruktur digital yang selamat dan berdaya tahan. Tanpa pemulihan kepercayaan pasaran, usaha membina ekosistem digital yang inklusif dan mampan akan terus terhalang oleh bayang-bayang pemasaran palsu.
Respons Dasar dan Tanggungjawab Platform
Dalam menangani pemasaran palsu, Malaysia mengambil langkah awal melalui penubuhan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 bagi menyekat aliran wang mangsa. Namun begitu, tumpuan dasar perlu diperluas kepada tanggungjawab platform media sosial sebagai penyedia ruang iklan. Platform tidak seharusnya berfungsi sebagai saluran pasif, sebaliknya perlu dipertanggungjawabkan secara undang-undang untuk menyaring, serta menurunkan iklan yang mengandungi unsur penipuan dengan segera.
Malaysia boleh mencontohi kerangka perundangan antarabangsa seperti Akta Perkhidmatan Digital Kesatuan Eropah yang mengenakan tanggungjawab lebih ketat terhadap penyedia platform untuk bertindak pantas mengekang penipuan digital.
Selain itu, penerapan pemasaran beretika, serta sistem pengesahan identiti pengiklan Kenali Pelanggan Anda [Know Your Customer (KYC)] amat penting sebagai tapisan latar belakang bagi memastikan kesahihan pengiklan. Sistem KYC wajar diwajibkan kepada semua pihak yang ingin menjalankan kempen pemasaran berbayar bagi menutup ruang manipulasi algoritma oleh sindiket penipuan.
Langkah ini penting bagi menjamin kelestarian ekonomi digital, serta memastikan perjalanan pelanggan dalam talian kekal selamat selaras dengan SDG 12 yang menekankan penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab. Hanya melalui kerjasama erat antara kerajaan dengan penyedia platform digital, rantaian pemasaran palsu ini dapat diputuskan secara berkesan.
Pemasaran palsu di platform digital, termasuk media sosial merupakan barah ekonomi yang berpotensi membantutkan pembangunan ekonomi digital negara. Kerugian material yang mencecah berbilion ringgit menjadi isyarat jelas bahawa integriti ekosistem digital sedang diuji pada tahap tertinggi. Tanpa jaminan ruang digital yang selamat, perniagaan tempatan akan terus terperangkap dalam ketidakpastian dan pengguna pula menanggung risiko berpanjangan.
Oleh itu, sinergi antara penguatkuasaan undang-undang dengan dasar kerajaan yang inklusif, serta pemerkasaan literasi digital masyarakat perlu dijadikan perisai pertahanan nasional. Hanya dengan membersihkan ruang siber daripada unsur manipulasi, Malaysia mampu membina ekonomi digital yang bukan sahaja kompetitif, malah teguh berteraskan integriti, sejajar dengan aspirasi negara.