Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTahun baharu sering dimanfaatkan sebagai titik permulaan untuk menetapkan azam dan sasaran baharu. Tempoh ini juga merupakan masa yang paling sesuai untuk melaksanakan perubahan dalam kehidupan, termasuk dalam aspek kewangan.
Hakikatnya, perancangan dan pengurusan kewangan wajar menjadi antara keutamaan dalam senarai azam setiap individu. Pengurusan kewangan yang baik memberikan impak besar terhadap kestabilan kehidupan, kesejahteraan emosi, serta jaminan masa hadapan, khususnya bagi mereka yang memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan tempat bergantung harap.
Konsep “Tahun Baharu, Matlamat Kewangan Baharu” boleh dijadikan kerangka untuk merenung semula kedudukan kewangan sedia ada dan seterusnya memperbaharui pendekatan dalam mengurus perbelanjaan, simpanan, serta komitmen kewangan.
Dalam usaha memastikan perancangan kehidupan yang lebih teratur sepanjang tahun baharu, tahap kestabilan kewangan perlu diberi perhatian serius. Lebih-lebih lagi, kos sara hidup di Malaysia menunjukkan trend peningkatan yang berterusan, sekali gus menuntut kesediaan menghadapi komitmen kewangan yang semakin mencabar.
Tidak dinafikan, kerajaan MADANI menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kewangan kepada rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dan lain-lain. Namun demikian, kegagalan mengurus bantuan yang diterima secara berhemah berpotensi menyebabkan individu terperangkap dalam masalah kewangan yang lebih serius.
Sekiranya pada tahun-tahun sebelumnya perbelanjaan dilakukan tanpa perancangan yang sistematik, tahun baharu wajar dijadikan titik perubahan untuk mengamalkan pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin. Penyediaan bajet bulanan merupakan langkah asas yang tidak boleh diabaikan.
Amalan merekodkan dan merancang perbelanjaan membolehkan individu mengenal pasti aliran keluar wang, seterusnya mengesan pembaziran yang boleh dikurangkan. Melalui bajet yang terancang, penambahbaikan dapat dilakukan dari bulan ke bulan, sekali gus mengelakkan situasi ketidakcukupan kewangan di hujung bulan yang memaksa seseorang berhutang demi kelangsungan hidup.
Dalam era teknologi yang serba canggih, tiada alasan untuk menangguhkan usaha menyediakan bajet. Pelbagai aplikasi mesra pengguna kini tersedia bagi membantu perancangan kewangan. Antaranya termasuk aplikasi “Belanjawanku” oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berfungsi memantau perbelanjaan, serta mengenal pasti komponen kos yang boleh dikurangkan.
Aplikasi sedemikian memudahkan perancangan kewangan bulanan dan tahunan, mengawal perbelanjaan tidak perlu, serta membantu mencapai matlamat kewangan dengan lebih berkesan. Bagi individu yang lebih selesa dengan kaedah manual, penggunaan buku nota kecil untuk mencatat perbelanjaan harian masih relevan, asalkan disiplin mencatat setiap sen yang dibelanjakan dapat dikekalkan.
Selain penyediaan bajet, azam kewangan yang tidak kurang penting ialah mengamalkan budaya berjimat cermat. Dalam persekitaran digital hari ini, perbelanjaan impulsif semakin berleluasa, khususnya melalui siaran langsung platform e-dagang seperti TikTok dan Shopee. Dengan mengamalkan sikap berjimat, individu dapat membezakan antara keperluan dengan kehendak dengan lebih jelas.
Pemilihan barangan juga tidak lagi berasaskan jenama semata-mata, sebaliknya didorong oleh nilai guna dan kemampuan kewangan. Sikap mudah terpengaruh dengan tawaran harga murah atau konsep “beli sekarang, bayar kemudian” (BNPL) juga dapat dielakkan. Di samping itu, amalan memasak di rumah berbanding kerap makan di luar mampu menjimatkan perbelanjaan harian secara signifikan.
Seterusnya, menabung dan menyimpan secara konsisten perlu dijadikan azam kewangan yang berterusan. Amalan menabung bukan hanya relevan untuk kanak-kanak, malah penting bagi semua peringkat umur. Pengalaman semasa pandemik COVID-19 menyedarkan banyak pihak tentang kepentingan memiliki simpanan kecemasan. Namun begitu, apabila keadaan kembali stabil, kecenderungan untuk berbelanja secara berlebihan sering berulang.
Sebagai contoh, gaya hidup menikmati kopi dan makanan berharga tinggi menjadi kebiasaan, walaupun terdapat pilihan yang lebih berpatutan. Menurut laporan Persatuan Kopi Malaysia pada tahun 2023, sebanyak 85 peratus golongan milenial menikmati kopi sekurang-kurangnya sekali sehari, sama ada di kafe kegemaran atau kafe tular. Tabiat ini tanpa disedari boleh memberikan tekanan yang ketara terhadap kewangan peribadi.
Menabung bukan sekadar persediaan menghadapi kecemasan, malah penting bagi mencapai matlamat jangka panjang. Setiap individu wajar menyisihkan sejumlah wang sebaik menerima pendapatan, sebelum perbelanjaan lain dilakukan. Simpanan juga boleh dibahagikan mengikut kategori tertentu seperti dana kecemasan, simpanan percutian atau pendidikan.
Bagi dana kecemasan, sasaran simpanan sekurang-kurangnya bagi menampung perbelanjaan antara tiga bulan hingga enam bulan adalah disarankan. Walaupun jumlah simpanan mungkin kecil, amalan menabung secara konsisten mampu memberikan kesan besar dalam jangka masa panjang.
Selain itu, azam kewangan tahun baharu juga perlu merangkumi usaha meningkatkan literasi kewangan. Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Abdul Rasheed Ghaffour, literasi kewangan merupakan kemahiran asas yang penting dalam menyumbang kepada kesejahteraan individu dan sosioekonomi negara.
Literasi kewangan membolehkan rakyat merancang perbelanjaan isi rumah dengan lebih berkesan, membuat keputusan simpanan dan pelaburan yang bijak, menabung untuk masa depan anak-anak, serta melindungi diri daripada risiko kewangan. Dalam era penipuan digital yang semakin berleluasa, pengetahuan kewangan yang mencukupi amat penting bagi mengelakkan diri daripada terjebak dalam skim pelaburan meragukan atau penipuan dalam talian.
Kesimpulannya, azam kewangan wajar menjadi sebahagian daripada resolusi tahunan setiap individu. Azam ini berperanan penting dalam membentuk kehidupan yang lebih sejahtera tanpa dibelenggu kebimbangan kewangan. Amalan menyediakan bajet, berjimat cermat, menabung secara konsisten, serta meningkatkan literasi kewangan akan menjadi panduan yang jelas ke arah pencapaian matlamat hidup. Setiap azam memerlukan disiplin dan komitmen yang tinggi, namun dengan pelaksanaan yang berterusan dan berhemah, kestabilan kewangan bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.