Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa hubungan erat antara jabatan kerajaan dengan agensi swasta merupakan elemen penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan, serta kelestarian operasi berintegriti.
Titah baginda, kedua-dua pihak perlu terus memperkukuh peranan masing-masing bagi membina ekosistem perniagaan yang kondusif, berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran semasa.

Tuanku Raja Muda turut menegaskan bahawa setiap syarikat wajar memberikan tumpuan kepada empat teras utama dalam operasi perniagaan, iaitu meningkatkan produktiviti melalui pelaksanaan automasi secara berperingkat; mematuhi sepenuhnya peraturan buruh, alam sekitar dan standard kualiti; memperkukuh budaya inovasi melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D); serta menerapkan teknologi baharu bagi mengoptimumkan keseluruhan proses pembuatan.
“Majlis apresiasi seperti ini wajar diteruskan dan diperluas penyertaannya kepada lebih banyak jabatan dan agensi. Inisiatif sebegini bukan sahaja menjadi wadah penghargaan, malah platform strategik untuk memperkukuh hubungan, meningkatkan komunikasi dan memperluas jaringan kerjasama demi kemajuan berterusan negeri Perlis,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Apresiasi kepada Jabatan Kerajaan dan Agensi Swasta anjuran Shorubber (Malaysia) Sdn. Bhd. yang berlangsung di Kangar.

Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat sama ke majlis tersebut.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Urusan Shorubber (Malaysia) Sdn. Bhd., YBrs. Encik Imran Ibrahim.
Majlis berkenaan dianjurkan bagi menghargai sokongan strategik dan kerjasama berterusan daripada pelbagai pihak yang membantu memperkukuh prestasi syarikat, serta menyokong pembangunan industri pembuatan sarung tangan negara.
Majlis apresiasi ini mencerminkan komitmen Shorubber (Malaysia) Sdn. Bhd. untuk terus menjalinkan hubungan erat dengan agensi kerajaan dan rakan industri seiring dengan usaha syarikat untuk kekal berdaya saing, inovatif dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara.