Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Industri getah kekal sebagai penyumbang penting kepada pembangunan sosioekonomi negara sejak pokok getah pertama ditanam di Kuala Kangsar pada tahun 1877, demikian menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani sewaktu menyampaikan ucapan perasmian Majlis Sambutan 100 Tahun Penyelidikan Getah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Beliau berkata, industri ini bukan sahaja membantu rakyat keluar daripada kemiskinan, malah membina semula kehidupan pasca-Perang Dunia Kedua, serta memacu pembangunan aktiviti hiliran.
“Malaysia kini muncul sebagai pengeluar terbesar sarung tangan getah dunia, selain menjadi pengeluar utama pelbagai produk berasaskan getah,” ujarnya.
Menurutnya, sejak penubuhan Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) pada tahun 1925 yang kini dikenali sebagai Lembaga Getah Malaysia (LGM), lebih daripada 200 teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D) telah dikomersialkan dan 394 paten didaftarkan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat inovasi getah global.
Beliau menegaskan bahawa penyelidikan yang dijalankan memberikan impak besar terhadap industri, termasuk menangani penyakit pokok, turun naik harga pasaran, serta cabaran ekonomi dunia. Antara pencapaian utama termasuklah pembangunan klon getah rintang penyakit, peningkatan produktiviti melalui bahan stimulan, amalan pertanian baik dan penanaman integrasi.
Dalam sektor hiliran, Malaysia terus memimpin melalui Standard Getah Malaysia (1965), serta inovasi teknologi penghasilan sarung tangan getah yang mengurangkan alahan protein dan mempercepat biodegradasi. Pensijilan Sarung Tangan Malaysia Standard juga mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju sarung tangan perubatan berkualiti tinggi.
Seiring tuntutan pasaran global terhadap kemampanan, LGM memperkenalkan inisiatif Getah Asli Lestari Malaysia (MSNR), manakala Strategi LGM 2026–2030 memberikan fokus kepada automasi, robotik, kecerdasan buatan (AI), pemetaan geospatial dan digitalisasi rantaian bekalan.
Sementara itu, Pengerusi LGM, YBhg. Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir dalam ucapannya berkata, RRIM merupakan institut penyelidikan kedua tertua di Malaysia dan kini LGM menjadi institut penyelidikan getah terbesar dunia dengan 18,000 ekar tanah khusus untuk R&D.
Beliau menegaskan industri getah kekal relevan dalam menyumbang kepada eksport, pekerjaan dan pembangunan luar bandar, termasuk sektor kayu getah yang memberikan nilai tambah tinggi.
Bersempena dengan sambutan itu, LGM melancarkan Buku Mewah (Coffee Table Book), serta Buku Strategi LGM 2026–2028, selain kerjasama dengan POS Malaysia mengeluarkan setem khas 100 tahun. Sambutan dua hari tersebut turut memuatkan pelbagai acara, termasuk penyampaian Anugerah 100 Tahun Penyelidikan Getah, forum pekebun kecil, sesi tandatangan setem khas dan temu semula pesara LGM.
