Diterbitkan pada 25 November 2025, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam era globalisasi yang semakin pesat, jenama bukan sekadar logo atau slogan, tetapi cerminan nilai, identiti dan aspirasi sesebuah perniagaan. Banyak usahawan Malaysia berlumba-lumba menjenamakan produk mereka dengan sentuhan antarabangsa yang menggunakan bahasa Inggeris, reka bentuk moden dan gaya komunikasi yang universal. Namun begitu, dalam usaha mengejar pasaran global, masyarakat sering terlepas pandang satu kekayaan yang telah lama ada dalam diri kita, iaitu bahasa Melayu.

Bahasa Melayu bukan hanya sekadar alat komunikasi, tetapi juga simbol budaya, nilai dan jati diri bangsa. Dalam konteks perniagaan moden, bahasa Melayu bukanlah satu halangan untuk berkembang, sebaliknya dapat menjadi nilai tambah dan keunikan jenama yang mampu mencipta kelainan pada persada antarabangsa.

Jepun dan Korea membuktikan bahawa penggunaan bahasa ibunda bagi penjenamaan dapat memikat pasaran global kerana membawa rasa keaslian dan identiti tempatan yang unik. Begitu juga dengan bahasa Melayu yang kaya dengan makna, kesantunan dan sejarah budaya Nusantara.

Penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja mampu memperkukuh ekonomi negara, tetapi juga mengangkat maruah warga Malaysia. Bahasa dapat mencipta hubungan emosi yang mendalam dengan pengguna dan pada masa yang sama menonjolkan Malaysia sebagai negara yang kaya dengan warisan dan berwawasan tinggi dalam perniagaan global.

Nilai usahawan yang cemerlang tidak hanya diukur berdasarkan keuntungan, tetapi juga kepada prinsip, etika dan warisan yang dibawa bagi setiap perniagaan. Dalam hal ini, bahasa Melayu dapat menjadi asas kepada nilai seperti kejujuran, kebijaksanaan dan kesantunan yang dapat dijadikan kekuatan bagi penjenamaan.

Perkataan seperti amanah, ikhlas dan bertanggungjawab dalam bahasa Melayu bukan sekadar istilah, tetapi nilai yang membentuk kepercayaan pelanggan. Apabila sebuah jenama menyampaikan mesej dengan menggunakan bahasa kebangsaan, hal ini memberikan rasa kejujuran dan keyakinan kepada pelanggan, terutama dalam dunia digital yang penuh dengan penipuan.

Begitu juga dengan peribahasa Melayu seperti “biar lambat asalkan selamat” atau “melentur buluh biarlah dari rebungnya” yang menggambarkan nilai kesabaran, pendidikan dan strategi yang relevan untuk membina jenama yang beretika dan lestari. Sebagai contoh, iklan “Ikhlaskan Jiwa” oleh Bank Simpanan Nasional sempena Raya 2025 memanfaatkan konsep tradisi Melayu seperti salam, hormat orang tua dan doa untuk menanamkan rasa nostalgia, kasih sayang dan nilai budaya dalam jiwa penonton.

Dalam budaya Melayu, bahasa juga ialah cermin budi pekerti. Kesantunan dalam berkomunikasi adalah penting untuk membina reputasi positif terhadap jenama dan organisasi. Komunikasi yang menggunakan bahasa Melayu dengan adab yang tinggi akan mudah menambat hati pelanggan, baik di dalam negara mahu pun di rantau serumpun. Dalam komunikasi digital seperti media sosial, penggunaan bahasa Melayu yang sopan dapat mengelakkan salah faham dan membina kepercayaan jangka masa panjang.

Sebagai contoh, Les’ Copaque Production membuktikan bahawa identiti budaya tempatan tidak menghalang kejayaan global, malah menjadi kekuatan utama dalam menarik minat penonton antarabangsa. Syarikat ini mencipta siri animasi ikonik Upin & Ipin yang memaparkan kehidupan kampung, adat resam Melayu, nilai kekeluargaan, serta elemen budaya Malaysia seperti perayaan Hari Raya, makanan tempatan dan watak tradisional. Berbeza daripada pendekatan yang cenderung meniru kandungan Barat, Upin & Ipin kekal berpegang pada jati diri tempatan, sambil menyampaikan mesej universal yang mudah difahami.

Kejayaan Upin & Ipin bukan sahaja dirasai dalam negara, malah siri animasi ini ditayangkan di lebih daripada 10 buah negara, termasuk Indonesia, India, Brunei, Singapura, Australia, serta dalam platform global seperti Netflix dan Disney Channel Asia. Kejayaan ini membuktikan bahawa sebuah jenama yang berakar umbi dalam budaya sendiri mampu menembusi sempadan global tanpa perlu mengorbankan identiti tempatan.

Fenomena ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu bukanlah penghalang kepada kejayaan antarabangsa, tetapi sebaliknya jambatan yang menghubungkan budaya Malaysia dengan dunia luar. Dengan kreativiti dan keaslian, Upin & Ipin mengangkat bahasa Melayu sebagai elemen penting bagi penjenamaan yang berjaya pada peringkat global.

Selain itu, bahasa Melayu membuka peluang untuk penjenamaan yang lebih unik dalam pasaran antarabangsa. Penggunaan bahasa tempatan bagi produk atau perkhidmatan akan mencipta daya tarikan budaya Malaysia yang dapat menarik perhatian pengguna luar negara.

Sebagai contoh, syarikat tekstil yang menggunakan jenama seperti “Tenunan Emas” bukan sahaja memasarkan kain, tetapi juga memperkenalkan seni tenunan Melayu yang kaya dengan nilai estetika. Hal ini membentuk identiti jenama yang berbeza daripada produk Barat yang lebih komersial. Pelanggan antarabangsa bukan hanya tertarik kepada produk, tetapi juga kepada kisah dan budaya di sebaliknya.

Bahasa Melayu juga memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan emosi dengan pasaran serantau. Negara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura berkongsi bahasa yang sama, memberikan kelebihan strategik kepada jenama yang ingin mengembangkan pasaran serantau.

Kajian oleh CSA Research menunjukkan bahawa 76 peratus pengguna lebih suka membeli produk yang maklumatnya tersedia dalam bahasa ibunda mereka, sementara 40 peratus tidak akan membeli jika maklumat tersebut hanya tersedia dalam bahasa asing. Hal ini jelas menunjukkan bahawa bahasa yang digunakan bagi penjenamaan dapat mempengaruhi keputusan pembelian, khususnya dalam pasaran tempatan dan serantau.

Dengan menggunakan bahasa Melayu, jenama dapat mencipta cerita yang berakar umbi tempatan dan mudah diterima dalam kalangan pengguna global. Cerita yang autentik, penuh dengan nilai tempatan dan relevan dengan pengalaman budaya akan lebih mudah mendapat tempat di hati pengguna.

Sebagai contoh, jenama makanan ringan seperti Mamee Monster yang menggunakan perisa tempatan seperti kari, tomyam dan ayam panggang, selain maskot ikoniknya berjaya menjadikan produk tersebut simbol nostalgia dan cita rasa rakyat Malaysia yang dapat diterima pada peringkat antarabangsa.

Untuk mengangkat bahasa Melayu dalam perniagaan global, beberapa langkah strategik dapat diambil. Antara langkah awal termasuklah menggunakan bahasa Melayu bagi nama produk atau perkhidmatan seperti “Lembayung Spa” atau “Harapan Ventures”. Nama sebegini memberikan identiti tempatan yang unik dan mencetuskan rasa ingin tahu dalam kalangan pelanggan antarabangsa.

Selain itu, kisah jenama juga ditulis dalam bahasa Melayu dan diterjemahkan dengan cermat untuk menjaga keaslian cerita tersebut. Gabungan reka bentuk visual dengan menggunakan bahasa Melayu bagi pembungkusan produk juga dapat meningkatkan nilai estetika dan emosi produk.

Kajian oleh Shopee pada Ogos 2024 menunjukkan bahawa sembilan orang pengguna daripada 10 orang pengguna Malaysia mempercayai penjual tempatan untuk memenuhi pesanan dan menjawab pertanyaan dengan baik, serta 80 peratus lebih gemar membeli produk buatan Malaysia. Hal ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu bukan penghalang kejayaan, malah jambatan kepada penerimaan dan kepercayaan pelanggan.

Namun begitu, terdapat cabaran utama bagi persepsi sesetengah pihak bahawa bahasa Melayu tidak cukup “berprestij”. Untuk mengatasi hal ini, beberapa inisiatif perlu dilaksanakan antaranya termasuklah memberikan pendidikan kepada usahawan muda mengenai potensi penjenamaan budaya, galakan dan insentif kepada jenama yang berjaya membawa bahasa Melayu pada pasaran global, serta kerjasama dengan institusi pendidikan dan pakar bahasa bagi pembangunan kandungan dan reka bentuk jenama.

Ternyata, bahasa Melayu bukan sahaja warisan, tetapi juga aset strategik bagi ekonomi digital masa kini. Dalam dunia yang semakin dipenuhi dengan jenama global yang seragam, keunikan bahasa dan budaya Melayu menjadi kekuatan yang luar biasa. Usahawan yang berani mengangkat bahasa Melayu bagi penjenamaan produk mereka bukan sahaja memperjuangkan bahasa kebangsaan, tetapi juga membawa Malaysia pada peringkat antarabangsa dengan identiti yang unik dan penuh cerita.

Penjenamaan yang berasaskan bahasa dan budaya sendiri bukan hanya isu identiti, tetapi juga berkaitan dengan daya saing ekonomi. Dunia kini menghargai jenama yang mempunyai cerita, roh dan warisan tersendiri. Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu bagi perniagaan bukan lagi pilihan, tetapi suatu keperluan strategik untuk kekal relevan, dihormati dan dikenali pada peringkat antarabangsa.

Dr. Soo Kok Mun, Pengerusi Persatuan Pendidik Profesional Bahasa Malaysia dan Setiausaha Kelab Teknologi Kewangan dan Keusahawanan Inovasi Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi