Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam dunia organisasi yang semakin kompleks dan berdaya saing, satu daripada cabaran yang sering kali terlepas pandang namun memberikan kesan besar ialah jurang nilai antara generasi pekerja. Perbezaan ini bukan sekadar mengenai usia atau tahap pengalaman, tetapi berkait rapat dengan cara berfikir, pendekatan kerja dan jangkaan terhadap organisasi serta peranan mereka di dalamnya.
Fenomena ini tidak asing di kebanyakan organisasi, lebih-lebih lagi yang telah beroperasi puluhan tahun. Perkara ini bukan sesuatu yang mudah dielakkan, namun menuntut kebijaksanaan pengurus dan pemimpin dalam mendepani realiti ini secara strategik.
Jurang nilai ini menjadi semakin ketara apabila organisasi cuba mengekalkan nilai tradisional yang telah menjadi tonggak budaya selama beberapa dekad sedangkan generasi baharu membawa naratif, keperluan dan gaya kerja yang sangat berbeza. Akibatnya, tempat kerja yang sepatutnya menjadi medan kolaborasi sering kali menjadi gelanggang pertembungan nilai, persepsi dan pendekatan kerja antara generasi. Proses menyatukan pekerja di bawah satu bumbung organisasi kini menjadi tugas yang semakin mencabar, memerlukan bukan sekadar kepakaran pengurusan sumber manusia, tetapi juga kepekaan budaya dan kepimpinan yang bijak membaca perubahan zaman.
Malaysia sendiri sedang menyaksikan perubahan struktur demografi tenaga kerja yang signifikan. Data menunjukkan bahawa generasi Z, iaitu generasi yang lahir selepas tahun 1997 bakal mendominasi pasaran kerja dalam beberapa tahun mendatang, menggantikan generasi X dan Baby Boomers yang selama ini menjadi tunjang utama dalam pelbagai sektor.
Namun begitu, peralihan ini tidak hanya menandakan perubahan dalam profil usia tenaga kerja. Perkara ini turut membawa bersama-sama peralihan budaya, perubahan kuasa dan perbezaan nilai yang akhirnya memberikan kesan besar kepada budaya organisasi, struktur komunikasi dan jangkaan kedua-dua pihak, iaitu pekerja dan majikan.
Setiap generasi membawa latar belakang dan keutamaan yang berbeza. Baby Boomers misalnya, terkenal dengan nilai kesetiaan yang tinggi terhadap organisasi. Mereka membesar dalam era pascakemerdekaan dan pertumbuhan ekonomi yang stabil, menjadikan mereka pekerja yang teguh dan menghormati struktur kerja berhierarki.
Generasi X pula menyaksikan perkembangan teknologi yang pesat dan mula memperjuangkan keseimbangan antara kerja dengan kehidupan peribadi. Golongan milenial yang mewarisi kematangan digital, cenderung mencari pekerjaan yang menawarkan fleksibiliti, pembangunan diri, serta nilai dan makna peribadi. Kini, generasi Z tampil dengan keupayaan digital yang tinggi, serta kesedaran sosial dan alam sekitar yang lebih mendalam, menjadikan impak sosial sebagai sebahagian daripada aspirasi kerjaya mereka.
Perbezaan nilai ini tidak dapat dielakkan daripada mencetuskan ketegangan di tempat kerja. Gaya kerja yang berbeza mencipta suasana yang kadang-kala janggal, malah boleh membawa kepada konflik terbuka atau pasif. Pekerja muda mungkin melihat sistem kerja tradisional sebagai usang, lambat dan tidak fleksibel, manakala pekerja senior pula mungkin merasakan bahawa pengalaman mereka tidak dihargai atau suara mereka semakin tenggelam dalam arus perubahan. Pertembungan ini jika tidak ditangani dengan bijaksana, boleh menjejaskan produktiviti, menimbulkan konflik interpersonal dan paling membimbangkan boleh mendorong kepada kehilangan pekerja berbakat yang memilih untuk meninggalkan organisasi.
Lebih memburukkan keadaan, kemunculan teknologi baharu hasil Revolusi Perindustrian Keempat seperti kecerdasan buatan, automasi dan analitik data raya memperbesar jurang sedia ada. Pekerja muda lebih cepat menyesuaikan diri dengan teknologi, sementara sebahagian pekerja senior berdepan dengan cabaran untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran digital yang sentiasa berubah. Jika organisasi gagal menyediakan sokongan yang mencukupi, khususnya dalam bentuk latihan rentas generasi, ketidakseimbangan ini akan terus melebar membawa kepada komunikasi yang tidak berkesan, serta menurunkan tahap keberkesanan pasukan secara keseluruhan.
Realitinya, kewujudan pekerja daripada pelbagai generasi dalam sesebuah organisasi bukanlah satu ancaman secara automatik. Namun begitu, perkara ini boleh menjadi satu beban jika pengurusan organisasi tidak bersedia atau tidak sedar tentang implikasi budaya ini. Bagi organisasi yang masih muda dan dibina dalam kalangan generasi yang hampir sebaya, perbezaan nilai mungkin tidak terlalu ketara. Sebaliknya, bagi organisasi mapan yang telah lama berdiri, budaya kerja yang terbentuk sejak dua dekad atau tiga dekad lalu sedang dicabar oleh generasi baharu yang tampil dengan gaya dan cara fikir yang sangat berbeza.
Generasi baharu ini misalnya, tidak lagi meletakkan pekerjaan semata-mata sebagai sumber pendapatan. Mereka mencari makna, ingin berasa dihargai dan mahu menyumbang kepada sesuatu yang lebih besar daripada sekadar tugas harian. Komunikasi juga berubah; mereka tidak lagi bergantung pada laporan panjang sebaliknya lebih gemar kepada komunikasi yang ringkas, pantas dan responsif. Dalam hal kesetiaan, mereka tidak berpegang pada idea setia kepada organisasi sepanjang hayat, tetapi lebih kepada kesetiaan terhadap nilai, misi dan impak yang dirasakan bermakna secara peribadi.
Pertembungan budaya ini tidak terbatas di Malaysia semata-mata. Pada peringkat global, syarikat besar juga sedang bergelut dengan cabaran yang sama. Di Jepun, struktur kerja yang tegar dan berhierarki sukar menarik minat generasi muda yang mahukan keanjalan dan kolaborasi. Di Eropah, konsep “dialog antara generasi” mula diperkenalkan untuk menangani jurang antara pemikiran tradisional dengan nilai generasi digital. Di Amerika Syarikat pula, banyak organisasi telah menggantikan struktur linear dengan sistem pasukan kolaboratif yang membuka ruang kepada interaksi rentas usia dan latar belakang secara lebih terbuka.
Namun begitu, masih banyak pengurus dan organisasi di seluruh dunia yang berpegang kuat pada cara kerja konvensional. Struktur birokratik yang kaku, gaya kepimpinan autokratik dan kurangnya kepekaan terhadap perbezaan nilai antara generasi menjadikan konflik ini semakin sukar diselesaikan. Akibatnya, suara pekerja muda sering kali terpinggir, pandangan mereka tidak diberi ruang sewajarnya, sementara pekerja senior pula merasakan generasi muda tidak cukup sabar, kurang setia dan terlalu bergantung pada teknologi. Prasangka sebegini hanya akan memburukkan lagi suasana kerja dan menyukarkan pembinaan budaya organisasi yang inklusif.
Sekiranya jurang ini tidak diurus dengan baik, hal ini boleh membawa pelbagai kesan negatif. Komunikasi yang terganggu, penurunan produktiviti dan kadar keluar masuk pekerja yang tinggi terutama dalam kalangan generasi muda akan membebankan organisasi dari segi kos dan kestabilan operasi. Lebih membimbangkan, budaya toksik yang berasaskan stereotaip dan salah faham antara generasi boleh membantutkan usaha ke arah inovasi dan pembinaan pasukan yang kukuh.
Namun begitu, situasi ini tidak semestinya berakhir dengan kesan negatif semata-mata. Di sebalik cabaran, terdapat peluang besar untuk membina semula budaya organisasi yang lebih segar, adaptif dan kompetitif. Organisasi harus bermula dengan menyemak kembali nilai teras mereka. Nilai seperti saling menghormati, kepercayaan, ketelusan dan pembelajaran berterusan perlu dijadikan asas bersama yang melangkaui perbezaan generasi. Pendekatan pengurusan juga wajar berubah daripada gaya arahan sepihak kepada pendekatan yang meraikan kolaborasi dan peranan pemimpin sebagai pemudah cara serta, pendengar aktif.
Langkah seterusnya ialah melakukan analisis budaya dan iklim kerja secara menyeluruh. Melalui analisis ini, organisasi dapat mengenal pasti punca ketegangan budaya dan seterusnya merangka strategi transformasi yang inklusif. Latihan dan pembangunan pekerja harus bersifat merentas generasi. Program pementoran berbalik contohnya, boleh menjadi platform berkesan untuk pekerja muda berkongsi kepakaran digital mereka, manakala pekerja senior pula menyalurkan pengalaman dan nilai kerja yang telah terbukti. Komunikasi juga perlu diolah semula agar lebih inklusif dengan gabungan pendekatan bersemuka dan dalam talian yang memberikan ruang kepada semua untuk bersuara dan terlibat dalam pertumbuhan organisasi.
Pada akhirnya, cabaran jurang generasi bukan soal menentukan generasi yang paling betul atau dominan. Perkara ini ialah soal keupayaan organisasi untuk kekal relevan dan berdaya tahan dalam persekitaran dunia pekerjaan yang semakin mencabar. Budaya organisasi yang pelbagai bahkan harmoni bukan sahaja menjadi asas kepada inovasi dan daya saing, tetapi juga merupakan aset strategik yang tidak mudah ditiru oleh pesaing.
Maka, setiap pengurus dan pemimpin wajar merenung kembali keadaan dalam organisasi masing-masing. Adakah budaya yang ada sedang menyatukan atau memecahbelahkan? Adakah perbezaan sedang diraikan atau dibiarkan menjadi barah senyap? Jawapan kepada persoalan ini akan menentukan sama ada organisasi akan terus maju ke hadapan atau terkandas dalam konflik dalaman yang perlahan-lahan melemahkan jantung operasinya.
Organisasi ibarat sebuah orkestra, iaitu harmoni hanya tercipta apabila setiap suara, sama ada yang tua atau muda diberi ruang untuk memainkan peranannya. Organisasi yang berjaya bukan sahaja memiliki strategi dan teknologi, tetapi juga kebijaksanaan untuk membina budaya kerja yang inklusif, manusiawi dan progresif. Dalam dunia yang serba pantas dan penuh ketidakpastian ini, nilai keterangkuman dan penghargaan terhadap kepelbagaian generasi akan menjadi kunci kepada kelangsungan dan kejayaan jangka masa panjang.