Diterbitkan pada 29 Ogos 2025, 17:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Baru-baru ini laman web Transfermarkt.com melaporkan bahawa nilai Liga Super Malaysia bagi musim 2025–2026 menyusut sebanyak RM11 juta. Laman web berkenaan memaparkan nilai pasaran semasa pemain bola sepak di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Berdasarkan laporan itu, nilai terkini Liga Super Malaysia kini berada di tangga keempat dalam kalangan liga bola sepak Asia Tenggara selepas dipintas oleh Liga Vietnam 1 yang menduduki tangga ketiga.

Nilai Liga Super Malaysia kini berjumlah RM251.88 juta berbanding dengan Liga Vietnam 1 yang bernilai kira-kira RM264.95 juta. Liga Thailand 1 kekal sebagai liga yang paling bernilai di rantau ini dengan nilai sekitar RM378.84 juta, diikuti oleh Liga Super Indonesia dengan nilai RM352.71 juta. Nilai sesebuah liga dikira berdasarkan jumlah nilai semua pemain yang beraksi untuk kelab dalam liga berkenaan.

Jadual 1 Nilai liga domestik Asia Tenggara musim 2025/2026 berdasarkan tukaran mata wang asing pada 22 Ogos 2025.

Sumber: Transfermarkt.com

Antara faktor penyusutan ini termasuklah ketiadaan beberapa kelab bersejarah yang gagal memperoleh lesen kebangsaan bagi musim 2025–2026, iaitu Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Kelab Bola Sepak Perak (Perak FC). Malaysia Football League (MFL) menolak permohonan lesen kedua-dua kelab tersebut kerana masih berdepan dengan masalah tunggakan gaji pemain dan staf pada musim 2024–2025. Selain itu, penarikan diri Kelab Bola Sepak Sri Pahang (Sri Pahang FC) daripada saingan musim ini, meskipun diberi lesen kebangsaan turut menyumbang kepada penyusutan nilai liga.

Berbanding dengan liga utama lain di rantau ini yang memiliki 14 kelab hingga 18 kelab bertanding, Liga Super Malaysia hanya tinggal 13 kelab selepas penarikan diri Sri Pahang FC. Pelaksanaan peraturan Pengurusan Kewangan Adil ataupun Financial Fair Play (FFP) yang lebih ketat pada musim ini juga memberikan kesan. Peraturan ini bertujuan memastikan kelab tidak berbelanja melebihi kemampuan dan mengelakkan isu tunggakan gaji berulang. Akibatnya, kebanyakan kelab tidak dapat merekrut pemain import bernilai tinggi bagi memperkukuh pasukan masing-masing.

Keadaan ini berbeza daripada kelab Nam Dinh FC dari Liga Vietnam 1  yang berbelanja besar bagi mendapatkan pemain import yang berkualiti. Nilai kelab itu kini mencecah RM45.18 juta, bukan sahaja untuk saingan domestik, tetapi juga bagi kejohanan serantau seperti Piala Shopee dan Liga Juara-juara AFC 2. Dengan nilai tersebut, Nam Dinh FC berada dalam senarai 10 kelab teratas yang paling bernilai dalam kejohanan Liga Juara-juara AFC 2 sebaris dengan kelab ternama Asia Barat seperti Al-Nassr (Arab Saudi), Al-Ahli (Qatar) dan Al Wasl (Emiriah Arab Bersatu).

Sebagai perbandingan, Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) yang turut bersaing dalam Liga Juara-juara AFC 2 hanya bernilai sekitar RM32.18 juta, jauh lebih rendah berbanding dengan Nam Dinh FC. Namun begitu, prestasi semasa Selangor FC dalam liga domestik serta perlawanan awal Piala Shopee menunjukkan keputusan yang lebih positif berbanding dengan kelab Vietnam tersebut.

Bagi Liga Super Malaysia, kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal sebagai penyumbang terbesar kepada nilai liga dengan jumlah sekitar RM69.17 juta pada musim 2025–2026. Nilai itu jauh meninggalkan 12 kelab lain kerana JDT perlu bersaing dalam dua kejohanan bola sepak antarabangsa, iaitu Liga Juara-juara AFC Elite (AFC Champions League Elite) dan Piala Shopee.

Walaupun nilai Liga Super Malaysia menurun, keadaan ini tidak menjejaskan perjalanan keseluruhan liga. Sebaliknya, nilai ini memberikan ruang kepada kemasukan pemain import berkualiti pada masa hadapan serta memperkasakan pembangunan bakat muda tempatan. Langkah ini diharap dapat meningkatkan daya saing kelab Malaysia, sekali gus menyediakan pesaing sengit kepada pasukan yang beraksi pada pentas antarabangsa..

Jadual 2 Nilai kelab bola sepak Liga Super Malaysia musim 2025–2026 berdasarkan tukaran mata wang asing pada 22 Ogos 2025.

Sumber: Transfermarkt.com

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi