Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Kerajaan Negeri Pahang berjaya mencatatkan jumlah pelaburan direalisasikan yang tertinggi di Pantai Timur dengan nilai keseluruhan mencecah RM4 bilion sehingga Jun 2025.
Angka ini mengatasi negeri lain seperti Terengganu yang merekodkan RM1.3 bilion dan Kelantan sebanyak RM1.1 bilion.
Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan kejayaan tersebut dalam kenyataannya pada semalam.
Menurut beliau, pencapaian ini hasil kerjasama erat dan usaha bersepadu pelbagai pihak termasuk agensi Kerajaan Negeri, syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) serta para pemain industri dan komuniti pelabur.
Beliau menjelaskan bahawa pelaburan ini mengukuhkan kedudukan ekonomi negeri, terutamanya dalam sektor strategik seperti pembuatan, minyak dan gas serta pelancongan yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.
Bagi kategori pelaburan komited pula, Pahang merekodkan nilai sebanyak RM3.5 bilion, manakala jangkaan nilai pelaburan baharu berimpak tinggi dianggarkan berjumlah RM38.4 bilion.
Dari aspek prestasi ekonomi, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang bagi tahun 2024 mencatatkan pertumbuhan 5.7 peratus dengan nilai RM68.7 bilion, melepasi purata nasional, iaitu 5.1 peratus sekali gus menjadikan Pahang sebagai negeri dengan prestasi ekonomi terbaik di Pantai Timur.
Sejak tahun 2018, KDNK Pahang telah meningkat sebanyak 23 peratus, bersamaan kira-kira RM13 bilion hasil pelaksanaan dasar pembangunan yang strategik, mampan dan menyeluruh.
YAB Menteri Besar turut menekankan bahawa Pahang kini berada atas landasan yang kukuh sebagai negeri yang progresif, mesra pelabur dan semakin kompetitif. Kejayaan ini jelas menggambarkan keyakinan tinggi pelabur terhadap kestabilan ekonomi dan iklim pelaburan yang kondusif di Pahang.
Menurut beliau lagi, faktor seperti kestabilan politik, dasar kerajaan yang konsisten, pembangunan infrastruktur moden dan ekosistem pelaburan yang efisien telah menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri.
Kerajaan Negeri juga terus komited untuk memperkasakan inisiatif pemudah cara pelaburan, mempercepat pelaksanaan projek strategik dan membangunkan jaringan infrastruktur sokongan yang menyeluruh di seluruh negeri.
Segala pencapaian ini merupakan cerminan pelaksanaan “Aspirasi Pahang 1st” yang memberikan penekanan kepada pertumbuhan ekonomi seimbang, peluang pekerjaan untuk rakyat serta pengagihan kemakmuran secara adil dan insklusif.
Dalam hal ini, Kerajaan Negeri beriltizam untuk terus memperkukuh dasar mesra pelaburan, meningkatkan daya saing ekonomi dan memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Pahang.