Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) komited memperkukuh amalan pematuhan cukai menerusi pelaksanaan Operasi Pematuhan Cukai siri kesepuluh dikenali sebagai OP Tanjong yang beroperasi di sekitar negeri Pulau Pinang.
Pelaksanaan operasi ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif bersasar HASiL untuk mengukuhkan kebertanggungjawaban fiskal serta memastikan keadilan sistem cukai dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Sebanyak 845 kes telah dikenal pasti bagi tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan yang melibatkan 238 pegawai dari seluruh negeri ini dengan memfokuskan sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi seperti sektor pembuatan, elektronik dan elektrikal, digital dan teknologi, logistik,pembinaan dan kontraktor serta kejuruteraan.
Enam aktiviti utama dilaksanakan sepanjang operasi, iaitu audit cukai, verifikasi maklumat pembayar cukai, pematuhan strategik, pungutan, duti setem dan tindakan guaman. Pendekatan ini bukan sahaja bersifat penguatkuasaan, malah turut menekankan elemen pendidikan melalui komunikasi secara langsung dengan pembayar cukai agar mereka menyedari tentang hak dan tanggungjawab dalam sistem percukaian negara.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), YBhg. Datuk Hisham Rusli mengatakan bahawa HASiL komited untuk terus melaksanakan pendekatan secara holistik dan bersepadu merentas lokaliti dan fungsi.
“Kerjasama berpasukan yang kukuh merupakan teras utama bagi menyampaikan manfaat optimum kepada semua pihak. Oleh itu, jaringan kolaborasi antara agensi akan terus diperkasakan sebagai elemen penting dalam tadbir urus yang efektif dan mampan”, jelas beliau dalam majlis perasmian penutupan OP Tanjong, semalam.

Pelaksanaan OP Tanjong membuktikan kesediaan HASiL dalam menyesuaikan strategi pematuhan mengikut landskap ekonomi setempat tanpa mengetepikan prinsip keadilan dan ketelusan. HASiL juga percaya bahawa usaha bersepadu seperti ini akan menjadi asas kukuh kepada ekosistem percukaian yang lestari, telus serta menyumbang secara langsung kepada keupayaan fiskal negara untuk menyokong agenda pembangunan nasional.
Yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar), YBrs. Puan Norfaidah Daud serta barisan pengurusan kanan HASiL.
