Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetelah 13 tahun tanpa sebarang semakan, seluruh kakitangan awam negara akhirnya menerima berita gembira berhubung dengan pelaksanaan pelarasan gaji baharu. Kenaikan melebihi 13 peratus ini dilaksanakan melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan disambut dengan penuh kesyukuran oleh penjawat awam.
Penyesuaian gaji ini bukan sahaja memberikan kelegaan dalam kehidupan seharian tetapi turut memperkukuh struktur ekonomi isi rumah, meningkatkan kuasa beli serta menyumbang kepada kesejahteraan sosial. Namun begitu, peningkatan pendapatan ini perlu diiringi dengan peningkatan tanggungjawab, pencapaian prestasi (KPI), komitmen serta daya usaha yang berterusan sebagai tanda kesetiaan dan penghargaan kepada negara.
Dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin tinggi, masyarakat disarankan agar tidak leka dibuai impian hidup mewah yang melampaui kemampuan. Perbelanjaan harus dirancang secara berhemah dan sistematik. Tidak salah mengikut arus kemodenan tetapi harus berpada-pada agar tidak membebankan diri dan keluarga.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Furqan ayat 67 menegaskan pentingnya kesederhanaan dalam perbelanjaan, “Dan mereka (yang diredai Allah) apabila membelanjakan (harta), tidak melampaui batas dan tidak pula bakhil, dan (perbelanjaan mereka) adalah sederhana di antara kedua-duanya.”
Kebebasan berbelanja adalah hak individu, namun perlu disertai dengan kesedaran kewangan. Prinsip kos lepas perlu diamalkan dengan mendahulukan keperluan berbanding dengan kehendak. Kenaikan gaji ini seharusnya dimanfaatkan untuk melangsaikan hutang, mengurangkan komitmen kewangan serta membina simpanan kecemasan dan pelaburan masa hadapan.
Pengamalan Konsep Wasatiyyah
Konsep Wasatiyyah atau kesederhanaan menekankan keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan dalam kehidupan. Perkara ini penting dalam pengurusan diri, ekonomi dan sosial masyarakat. Amalan ini mendidik kita untuk berbelanja mengikut keperluan, mengelak sikap materialistik serta menghindari gaya hidup “biar papa asal bergaya” yang membebankan kewangan dan jiwa.
Kesederhanaan juga menggalakkan sifat empati terhadap golongan yang memerlukan. Dalam situasi bencana seperti banjir kilat, konflik peperangan atau kemiskinan, masyarakat diajak untuk menyumbang dan bersedekah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima dan Allah menjanjikan ganjaran kepada mereka yang berinfak di jalan-Nya.”
Firman Allah SWT dalam Surah al-Muzzammil ayat 20 yang bermaksud, “Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan, kamu akan mendapat balasannya di sisi Allah sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya.”
Kenaikan taraf hidup ialah satu ujian. Perkara ini bukan alasan untuk bersikap riak atau menunjuk-nunjuk kemewahan. Sebaliknya, peningkatan gaji harus disusuli dengan rasa syukur, sikap prihatin dan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial serta nilai kemanusiaan.
Literasi Kewangan untuk Masa Hadapan
Ilmu pengurusan kewangan sangat penting untuk memastikan keseimbangan dalam berbelanja, menyimpan dan melabur. Masyarakat digesa agar tidak boros sebaliknya merancang perbelanjaan jangka panjang dengan membeli aset yang bernilai seperti emas, saham, hartanah, berbanding barang yang cepat susut nilai seperti alatan dan kereta.
Golongan muda serta penjawat awam khususnya perlu menyusun perancangan kewangan yang bijak dengan matlamat jangka panjang. Hal ini termasuklah simpanan untuk pendidikan, kesihatan dan ibadah seperti menunaikan haji. Kakitangan awam yang berniaga juga disarankan menggunakan sebahagian pendapatan untuk mengembangkan perniagaan, meningkatkan ilmu dan kemahiran serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Penerapan nilai wasatiyyah dalam kehidupan seharian selari dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan sosial dan keseimbangan hidup. Hal ini menjadi tunjang kepada kestabilan kewangan, kelestarian ekonomi serta keharmonian masyarakat.
Kenaikan gaji ini bukan sahaja peluang meningkatkan taraf hidup tetapi juga medan ujian untuk mengukur kewarasan dalam berbelanja, menyantuni keperluan dan menanam nilai murni dalam diri. Berbelanjalah secara sederhana, berpaksikan keperluan dan sentiasa bersyukur atas nikmat yang diterima.
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Melaka.