Diterbitkan pada 23 Mei 2025, 04:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pelabur runcit merujuk individu atau pelabur kecil yang tidak profesional dan membuat pelaburan bagi pihak diri sendiri. Mereka membeli dan menjual sekuriti atau dana yang terdiri daripada sekumpulan sekuriti seperti dana bersama dan dana dagangan bursa (ETF).

Lazimnya, mereka berdagang dalam jumlah yang lebih kecil secara aktif (Hayes, 2020). Berbeza daripada pelabur institusi, pelabur runcit menggalakkan pelibatan individu dalam pasaran saham dengan jumlah pelaburan yang lebih kecil. Mereka cenderung memilih instrumen pelaburan yang mudah difahami, seperti unit amanah.

Unit amanah memberikan akses kepada pelbagai jenis pelaburan yang mungkin sukar dicapai secara individu. Unit amanah sesuai untuk individu yang mempunyai simpanan tetapi mahukan pelaburan yang selamat serta diuruskan oleh profesional terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai masa atau kepakaran untuk melabur secara langsung. Kemudahan ini membolehkan pelabur runcit menikmati peluang pelaburan yang dahulunya hanya boleh diakses oleh pelabur institusi.

Unit amanah ialah sejenis pelaburan kolektif yang membolehkan ramai pelabur yang berkongsi matlamat pelaburan mengumpulkan dana ke dalam satu portfolio aset. Secara mudah, unit amanah merupakan kaedah pelaburan secara berkumpulan bagi meraih manfaat pelaburan yang lebih optimum.

Sehingga 31 Oktober 2024, terdapat 782 dana unit amanah yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti yang terdiri daripada 480 dana konvensional dan 302 dana patuh Syariah. Jumlah unit dalam edaran pula mencecah 761.739 bilion unit, iaitu 553.208 bilion bagi dana konvensional dan 208.531 bilion bagi dana patuh Syariah (FIMM, 2024).

Antara dana unit amanah yang popular ialah Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang dikendalikan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) khas untuk pelabur bumiputera dan dijamin oleh kerajaan. Sebagai pelabur, aset dalam portfolio tidak dimiliki secara langsung. Sebaliknya, pelabur memiliki “unit” dalam dana tersebut dan nilai unit ini berubah mengikut prestasi keseluruhan dana. Bilangan unit yang dimiliki bergantung pada harga semasa dan jumlah pelaburan yang dibuat.

Dari sudut kos, pelaburan dalam unit amanah melibatkan pelbagai caj seperti caj jual beli dan caj pengurusan. Caj ini menampung kos pemasaran, operasi serta kepakaran pengurus dana dalam mengurus portfolio. Sebaliknya, Bursa Malaysia mengenakan yuran perdagangan dan penjelasan bagi menampung kos transaksi dalam sistem perdagangan.

Pulangan dan Faedah Pelaburan Unit Amanah

Pulangan daripada pelaburan unit amanah diperoleh dalam dua bentuk utama, iaitu agihan pendapatan dan peningkatan modal. Agihan pendapatan merujuk keuntungan daripada aset dalam dana seperti dividen atau sewa, manakala peningkatan modal berlaku apabila nilai unit meningkat hasil kenaikan nilai aset dalam dana. Berbanding dengan simpanan biasa atau deposit tetap, unit amanah kebiasaannya memberikan pulangan yang lebih tinggi dalam jangka sederhana hingga panjang (tiga hingga 20 tahun). Namun begitu, potensi pulangan yang tinggi turut disertai dengan risiko yang lebih besar dan pulangan dalam jangka pendek tidak semestinya konsisten.

Pelaburan unit amanah dan Skim Persaraan Swasta (PRS) menawarkan banyak manfaat terutamanya kepada pelabur runcit yang kurang berpengetahuan dalam mengurus pelaburan sendiri. PRS pula berfungsi sebagai sokongan tambahan kepada persaraan rakyat Malaysia.

Kelebihan utama unit amanah ialah kepelbagaian pelaburan. Dana dilaburkan dalam pelbagai aset seperti saham, bon dan hartanah, sekali gus mengurangkan risiko kerugian. Sumbangan kepada PRS pula dilaburkan dalam portfolio yang seimbang untuk menghasilkan pulangan dengan risiko lebih rendah berbanding dengan pelaburan langsung dalam saham.

Kedua-dua unit amanah dan PRS dikendalikan oleh pengurus dana profesional yang berpengalaman dalam pasaran kewangan. Mereka mempunyai kelayakan dan pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang kewangan, ekonomi dan pelaburan. Di samping itu, unit amanah mudah dicairkan kerana tidak mempunyai tempoh penguncian tertentu dan unit boleh dijual setelah matlamat pelaburan dicapai. Proses ini biasanya mengambil masa sekitar 10 hari bekerja.

Bagi PRS, pelabur individu (pekerja atau bekerja sendiri) boleh menuntut pelepasan cukai hingga maksimum RM3,000 setahun. Majikan juga boleh menuntut potongan cukai sehingga 19 peratus daripada imbuhan pekerja atas caruman kepada PRS (FIMM, 2024).

Dana Syariah dan Gaya Pelaburan

Dana patuh Syariah menyediakan alternatif kepada pelabur Islam yang mengelak pelaburan dalam sektor tidak halal seperti perbankan konvensional, perjudian, alkohol dan makanan tidak halal (Shahrul, 2017). Dana ini memberikan keyakinan bahawa pelaburan dilakukan secara etika dan halal selaras dengan prinsip Islam.

Unit amanah juga bersifat fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut gaya pelaburan individu, sama ada berhati-hati (konservatif), sederhana atau berani mengambil risiko. Pelabur konservatif mementingkan keselamatan modal dan memilih dana pasaran wang yang rendah risiko seperti komoditi Murabahah dan pelaburan Wakalah. Pelabur sederhana pula cenderung memilih dana campuran yang menggabungkan saham, bon dan tunai bagi menyeimbangkan risiko dan pulangan. Pelabur agresif yang mengejar pulangan maksimum biasanya memilih dana ekuiti yang melabur dalam saham tempatan atau global dan sesuai untuk pelaburan jangka panjang (10 tahun ke atas). Oleh itu, setiap pelabur perlu memahami tahap toleransi risiko, matlamat kewangan dan jangka masa pelaburan sebelum membuat keputusan.

Pelaburan ialah suatu amalan yang digalakkan dalam Islam kerana menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi umah. Pelaburan unit amanah bukan sahaja memberikan peluang kepada individu untuk memperoleh pulangan lebih baik, malah merupakan instrumen pelaburan yang mudah, selamat dan sesuai untuk pelbagai jenis pelabur. Dana unit amanah patuh syariah pula memainkan peranan penting dalam menyokong sistem kewangan Islam secara menyeluruh yakni pelengkap kepada sektor perbankan Islam, takaful dan pasaran wang Islam.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi