Diterbitkan pada 7 Mei 2025, 15:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Kerajaan Negeri Pahang bersedia melaksanakan pelan pembangunan berimpak tinggi di tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Demikian menurut Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, semalam.

Jelas beliau,

Perancangan tersebut memberikan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam dalam lingkungan radius 15 kilometer dari setiap stesen ECRL yang dijangka akan memberikan impak langsung kepada kesejahteraan rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.

Tambah beliau, kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk menjadikan kawasan sekitar stesen ECRL sebagai pusat pertumbuhan baharu yang inklusif dan berdaya saing dengan pelaksanaan Projek Pemecut Ekonomi (EAP) serta pembangunan TOD secara strategik dan mampan.

Sebanyak empat pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diberi tanggungjawab untuk merangka pelan tindakan pembangunan EAP dan TOD di kawasan masing-masing dengan penekanan kepada manfaat nyata kepada penduduk tempatan.

PBT yang terlibat ialah Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan Majlis Daerah Maran (MDM).

Ujar beliau lagi,

Komponen pembangunan yang dikenal pasti untuk dibangunkan meliputi pelbagai aspek seperti pembinaan Pangsapuri Pahangku, Inland Port, pusat pentadbiran dan pusat komersial, hotel dan kompleks perniagaan, pembangunan bercampur, institusi dan kemudahan masyarakat, utiliti dan infrastruktur perumahan dan sebagainya.

Pada masa yang sama, beliau turut memaklumkan antara cadangan projek spesifik yang diketengahkan oleh PBT ialah pembangunan semula Tasik Paya Bungor Eco Park di Gambang; peningkatan dan penjenamaan semula Gambang Water Park; pembinaan Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Paya Besar; penyediaan Tapak Pusat Pengurusan Sisa Bersepadu; pembangunan Maritim Hab di Tanjung Gelang; dan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan pembangunan Bandar Aeroangkasa.

Selain itu, cadangan projek lain ialah Pembangunan Smart City di Daerah Temerloh; pembinaan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) dan Loji Jana Kuasa Biogas di Maran; penubuhan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC); pembinaan tapak Pusat Pengumpulan Hasil Kelapa Sawit, Pertanian dan Sumber Mineral; pembangunan kawasan Eko Pelancongan di Hutan Simpan Paya Pasir; pembinaan Terminal Bersepadu Bentong; dan pembangunan Gerai Berangkai Bentong.

YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menyatakan keyakinan bahawa pelaksanaan projek tersebut bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi tetapi bakal mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkukuh jaringan mobiliti dan akses perkhidmatan di kawasan luar bandar dan bandar.

Jelas beliau,

Inisiatif menyeluruh ini merupakan satu langkah proaktif dan bersifat masa hadapan yang akan menyokong pembangunan Negeri Pahang secara holistik, seimbang dan mampan demi kemakmuran, dan kesejahteraan semua.

Kredit Foto: Facebook Rasmi Menteri Besar Pahang
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi