Diterbitkan pada 28 April 2025, 09:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam dasawarsa ini, permintaan terhadap perkhidmatan penterjemahan semakin meningkat merentas pelbagai sektor seperti perniagaan, teknologi, kesihatan dan pelancongan. Fenomena ini membuka peluang keemasan kepada pelajar universiti untuk menjanakan pendapatan sambil mengasah kemahiran berbahasa dan meningkatkan kebolehpasaran dalam pasaran kerja yang kian mencabar.

Industri penterjemahan kini sedang mengalami transformasi besar hasil kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI). Justeru, penterjemah masa kini perlu beradaptasi dengan perubahan teknologi serta terus komited terhadap budaya pembelajaran sepanjang hayat. Aspirasi ini turut dizahirkan menerusi Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021–2025 yang menyasarkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi dan pembelajaran sepanjang hayat.

Potensi kemahiran penterjemahan untuk pelajar universiti adalah seperti yang berikut:

  1. Peluang Menjanakan Pendapatan

Pelajar universiti kini boleh memanfaatkan platform digital seperti Upwork, Fiverr, Rev dan Unbabel untuk menawarkan khidmat penterjemahan. Melalui profil profesional yang menonjolkan kemahiran berbahasa dan pengalaman berkaitan dengannya, mereka boleh menarik pelanggan dan menetapkan kadar bayaran berdasarkan tahap kemahiran dan keperluan projek.

Platform seperti Rev dan Unbabel yang menggabungkan AI dan kepakaran manusia menyediakan peluang bagi pelajar terlibat dalam kerja penterjemahan, penulisan semula dan penyarikataan yang pantas dan tepat, disertai ganjaran yang setimpal.

  1. Mengasah Kemahiran Berbahasa

Kemahiran berbahasa yang mantap merupakan asas kejayaan dalam bidang penterjemahan. Pelajar digalakkan menyertai kursus lanjutan, bengkel atau menggunakan aplikasi seperti Duolingo untuk memantapkan kefahaman terhadap tatabahasa, sintaks dan perbendaharaan kata. Latihan secara berterusan ini akan membantu dalam menghasilkan terjemahan yang tepat dan berkualiti.

  1. Penguasaan Teknologi dan Perisian Penterjemahan

Dalam era digital, penterjemah perlu mahir menggunakan Perisian Bantu Penterjemahan Komputer (CAT tools) serta teknologi berasaskan AI. Kecekapan dalam menggunakan perisian seperti SDL Trados, MemoQ atau Google Translate Toolkit meningkatkan kecekapan kerja, menjimatkan masa dan mempertingkat kualiti penterjemahan.

Di samping itu, kemahiran dalam mengintegrasikan AI serta memahami prinsip asas pengaturcaraan arahan (prompt engineering) boleh memberikan kelebihan kompetitif kepada penterjemah dalam pasaran kerja global.

  1. Peningkatan Kemahiran Profesional

Bagi pelajar yang baru menceburi bidang ini, penyertaan dalam forum profesional, kursus dalam talian dan konferensi industri adalah penting untuk memahami perkembangan semasa dan menyesuaikan diri dengan landskap penterjemahan moden.

Komitmen kepada pembelajaran berterusan membantu pelajar untuk terus relevan, berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan industri yang dipacu oleh inovasi digital.

  1. Kefahaman Konteks Budaya

Kejayaan terjemahan tidak hanya bergantung pada ketepatan bahasa tetapi juga pada kefahaman terhadap konteks budaya. Penterjemahan yang berkesan memerlukan pemahaman mendalam terhadap norma budaya, ekspresi idiomatik dan nuansa sosial.

Pelajar boleh memperkasakan kefahaman ini melalui tontonan filem, pembacaan buku serta interaksi dengan penutur jati. Kefahaman budaya membantu menghasilkan terjemahan yang lebih autentik dan relevan kepada khalayak sasaran.

Kemahiran penterjemahan membuka ruang besar kepada pelajar universiti untuk menjana pendapatan, memperkukuh kemahiran bahasa, menguasai teknologi moden serta menyiapkan diri untuk industri global. Hal ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah menyumbang kepada pembangunan sumber manusia negara.

Dengan pendekatan pembelajaran sepanjang hayat, pelajar dapat menyesuaikan diri dengan keperluan industri yang dinamik dan berteknologi tinggi. Usaha ini juga selari dengan visi Kementerian PendidikanTinggi dan kerangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 yang menekankan pembangunan holistik, bersepadu dan seimbang dalam kalangan pelajar.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi