Diterbitkan pada 22 April 2025, 10:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Setiap kali menjelang Aidilfitri, tradisi pemberian duit raya menjadi satu daripada elemen yang menceriakan suasana perayaan, khususnya bagi golongan kanak-kanak. Keterujaan anak-anak mengumpul duit raya dari rumah ke rumah bukan sekadar mencerminkan kemeriahan tetapi juga membuka ruang kepada ibu bapa untuk mendidik anak-anak tentang nilai wang dan kepentingan literasi kewangan sejak awal.

Pemberian duit raya merupakan satu amalan mulia yang membawa manfaat bukan sahaja kepada penerima, malah kepada pemberi. Tinjauan akhbar Sinar Harian mendapati bahawa jumlah duit raya yang diberi semakin meningkat dengan purata minimum kini sekitar RM5 berbanding dengan RM2 pada tahun 2014. Peningkatan ini dipercayai dipengaruhi oleh kenaikan kos sara hidup dan nilai barangan semasa.

Keseronokan kanak-kanak menerima duit raya sering disusuli dengan keinginan untuk berbelanja. Namun begitu, ibu bapa berperanan penting untuk membimbing anak-anak agar bijak mengurus kewangan. Tradisi ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah menjadi peluang emas untuk menyemai budaya menabung dan berbelanja secara berhemah.

Duit raya yang diterima bukanlah tidak boleh dibelanjakan langsung, namun prinsip menyimpan terlebih dahulu sebelum berbelanja wajar diterapkan. Perkara ini adalah asas kepada kestabilan kewangan jangka panjang. Statistik menunjukkan situasi yang membimbangkan apabila lebih daripada 5,000 belia berusia 34 tahun ke bawah telah diisytiharkan muflis sejak tahun 2020.

Pilihan Menyimpan dan Melabur Duit Raya Anak-anak

Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan oleh ibu bapa untuk menyimpan duit raya anak-anak. Antaranya termasuklah:

  1. Tabung Haji
    Tabung Haji menjadi pilihan popular kerana menawarkan dividen kompetitif (sekitar 5% setahun), patuh syariah, tanpa caj pentadbiran dan boleh digunakan untuk pembiayaan haji pada masa hadapan.
  2. Akaun Simpanan Kanak-kanak
    Akaun seperti CIMB Junior Savers, RHB Junior Savings Account dan Maybank Yippie-i memudahkan simpanan dan akses. Akaun ini membantu anak-anak mengenali urusan bank sejak awal.
  3. Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)
    SSPN-i Plus sangat sesuai untuk simpanan pendidikan tinggi. Selain memberikan pelepasan cukai, kaedah ini juga menggalakkan simpanan berdisiplin kerana pengeluaran tidak boleh dilakukan sesuka hati.
  4. Pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB)
    ASB menawarkan pulangan yang stabil dan sesuai untuk pelaburan jangka sederhana dan panjang. Pelaburan ini boleh membantu menambah nilai aset anak-anak.
  5. Simpanan dalam Bentuk Emas
    Emas adalah aset jangka panjang yang nilainya sentiasa meningkat. Simpanan ini juga menjadi alternatif menarik bagi ibu bapa yang ingin mengelakkan penyusutan nilai wang tunai.

Selain menyimpan dan melabur, anak-anak juga boleh diajar untuk berkongsi rezeki melalui amalan bersedekah. Mendidik anak untuk memberi kepada yang memerlukan dapat membentuk sikap prihatin dan empati sejak kecil. Selebihnya, wang yang ada bolehlah dibelanjakan dengan bimbingan ibu bapa agar mereka belajar nilai perbelanjaan berhemah dan bertanggungjawab.

Tradisi pemberian duit raya bukan sekadar simbol kemeriahan Aidilfitri, malah merupakan ruang terbaik untuk memupuk literasi kewangan dalam kalangan anak-anak. Pendidikan awal mengenai kewangan mampu membantu mereka membina asas yang kukuh untuk menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan, sama ada pada peringkat tempatan mahupun global.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi