Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah merasmikan pelancaran Akademi Rel Pahang di Kompleks Yayasan Pahang, semalam.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penubuhan akademi ini adalah manifestasi komitmen Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam memperkasakan pembangunan modal insan khususnya dalam industri rel yang sedang berkembang pesat, selari dengan pelaksanaan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Saya melihat pelancaran akademi ini sebagai satu langkah strategik dalam membina tenaga kerja mahir tempatan dalam industri rel,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara.
Akademi ini merupakan hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri Pahang dengan UCYP University dan Yayasan Pahang serta mendapat sokongan strategik daripada Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan Malaysia Rail Development Corporation (MRDC). Akademi ini menjadi institusi TVET ketiga berkaitan dengan rel di Malaysia selepas Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Akademi Rel Pahang menawarkan latihan dalam pelbagai bidang berkaitan dengan rel seperti kejuruteraan landasan, sistem isyarat, operasi tren dan keselamatan rel dalam usaha melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan bertaraf antarabangsa.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menyatakan bahawa penubuhan akademi ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap masa depan belia dan membuka ruang kepada peluang kerjaya baharu dalam sektor rel.
“Inisiatif ini memberi sinar harapan kepada anak-anak muda Pahang untuk menjadi tulang belakang industri rel negara,” katanya.

Turut hadir dalam majlis perasmian ini termasuklah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, YB Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan, YB Dato’ Amizar Abu Adam; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsudin dan barisan kepimpinan negeri Pahang.