Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengingatkan kepada semua pembayar cukai untuk terlebih dahulu menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan masing-masing sebelum merancang sebarang perjalanan percutian ke luar negara.
Menurut kenyataan HASiL, berdasarkan Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan 1967 serta Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, HASiL berkuasa untuk menghalang mana-mana individu atau syarikat yang mempunyai tunggakan cukai daripada meninggalkan Malaysia.
Sekatan perjalanan ini akan dikenakan sebagai tindakan terakhir jika pembayar cukai gagal melunaskan baki cukai yang tertunggak setelah pelbagai peringatan dan notis diberikan.
HASiL juga menasihatkan pembayar cukai yang berhasrat untuk ke luar negara agar menyemak status tunggakan cukai mereka melalui portal MyTax yang boleh diakses di https://mytax.hasil.gov.my/.
Untuk makluman, pembayar cukai yang ingin memohon pembatalan sekatan perjalanan boleh melakukannya secara dalam talian melalui perkhidmatan e-Sekatan Perjalanan di portal MyTax dengan memenuhi syarat, iaitu warganegara Malaysia, membuat bayaran penuh, kes sekatan perjalanan di bawah ACP 1967 dan tidak melibatkan sekatan perjalanan ke atas pengarah syarikat.
Bagi maklumat lanjut mengenai e-Sekatan Perjalanan, pengguna boleh merujuk soalan lazim di https://www.hasil.gov.my/individu/lain-lain/soalan-lazim individu/.
Selain itu, permohonan pembatalan sekatan perjalanan juga boleh dilakukan dengan prosedur dan saluran sedia ada, iaitu dengan menghubungi Pusat Hubungan HASiL menerusi talian 03-8911 1000 atau berkunjung ke Pejabat HASiL berhampiran mengikut ketetapan waktu operasi HASiL.