Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Malaysia dan Thailand terus memperkukuh kerjasama perdagangan pertanian serta keterjaminan makanan apabila Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu menerima kunjungan hormat wakil perdagangan Thailand, TYT Chai Wacharonke di Putrajaya pada 24 Mac 2025.
Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Malaysia dan Thailand mempunyai kerjasama erat dalam bidang pertanian dengan Thailand merupakan antara rakan dagang utama Malaysia.
Jelas KPKM, jumlah perdagangan sektor pertanian antara Malaysia dengan Thailand mencatatkan nilai RM20.96 bilion pada tahun 2024,.
Semasa pertemuan ini, kedua-dua pihak membincangkan isu akses pasaran serta aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara dan antara perkara yang dibangkitkan termasuklah permohonan akses pasaran ke Thailand yang melibatkan eksport udang putih dan siakap sejuk dingin serta bahagian kaki dan dalaman ayam.
Menurut KPKM, pihak Thailand akan mendapatkan maklum balas dan status terkini bagi kedua-dua perkara tersebut daripada agensi yang berkaitan dengannya.
Dalam kenyataan sama, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu turut memaklumkan bahawa Malaysia telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan maklumat mengenai syarat transit bagi produk berasaskan tumbuhan yang dihantar dari Malaysia ke China menggunakan perkhidmatan kereta api kargo ASEAN Express yang perlu melalui negara Thailand.
Dalam hal ini, beliau berharap wakil perdagangan Thailand, TYT Chai Wacharonke dapat memudah cara proses penyaluran maklumat tersebut bagi membantu menyelesaikan isu ini.
Malaysia juga akan turut serta dalam THAIFEX–Anuga Asia, ekspo perdagangan sektor makanan yang akan diadakan di Bangkok pada bulan Mei 2025.
Wakil perdagangan Thailand, TYT Chai Wacharonke mengalu-alukan kunjungan YB Menteri ke Bangkok dan penyertaan Malaysia di ekspo tersebut serta berharap jalinan kerjasama antara kedua-dua negara kekal kukuh.
Yang turut hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha KPKM (Dasar), YBhg. Datuk Azah Hanim Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, YBhg. Dato’ Nor Sam Alwi; Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, YBrs. Dr. Akma Ngah Hamid; Ketua Pengarah Perikanan, YBhg. Dato’ Haji Adnan Hussain serta pegawai kanan Kementerian.