Diterbitkan pada 12 Mac 2025, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan jualan sebanyak RM148.9 bilion pada bulan Januari 2025, meningkat 4.6% berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan bahawa pertumbuhan utama didorong oleh subsektor perdagangan runcit dan borong, sementara subsektor kenderaan bermotor mengalami penurunan.

Ketua Perangkawan Malaysia, YBhg. Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, perdagangan runcit merekodkan jualan sebanyak RM66.1 bilion yang menunjukkan peningkatan sebanyak 8.2 peratus atau RM5.0 bilion berbanding dengan tahun sebelumnya.

Kenaikan dalam aktiviti jualan runcit ini banyak didorong oleh sambutan Tahun Baru Cina serta musim cuti sekolah.

Jelas beliau,

Situasi ini telah menggalakkan peningkatan perbelanjaan pengguna terutamanya dalam segmen kedai pengkhususan dan bukan pengkhususan.

Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh peningkatan jualan runcit di kedai bukan pengkhususan sebanyak 9.7 peratus kepada RM25.5 bilion.

Selain itu, subsektor perdagangan borong merekodkan jualan sebanyak RM66.8 bilion yang mencatatkan peningkatan sebanyak 4.9 peratus atau RM3.1 bilion.

Ujar beliau,

Perdagangan borong terus kekal kukuh didorong oleh permintaan tinggi terhadap barangan isi rumah, pakaian, serta produk farmasi. Perkembangan ini mencerminkan kestabilan dalam corak perbelanjaan pengguna.

Sementara itu, jualan runcit di kedai pengkhususan meningkat sebanyak 8.3 peratus kepada RM14.0 bilion.

Jualan runcit bahan api kenderaan naik 7.8 peratus kepada RM6.0 bilion, mencerminkan peningkatan dalam aktiviti perjalanan.

Selain faktor perayaan, Malaysia juga menjadi tuan rumah bagi sambutan Tahun Baru Cina pertama yang diadakan di luar China, menarik lebih ramai pelancong dan memberikan kesan positif kepada sektor runcit.

Pertumbuhan ini juga  didorong oleh peningkatan jualan borong barangan isi rumah sebanyak 5.3% kepada RM13.9 bilion.

Jualan borong makanan, minuman dan tembakau juga naik 5.0% dipacu oleh permintaan tinggi semasa musim perayaan dan jualan borong dalam kategori lain meningkat 2.6%, mencerminkan kestabilan sektor ini.

Sebaliknya, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan penurunan ketara sebanyak 9.1% kepada RM16.0 bilion, berkurang RM1.6 bilion berbanding dengan bulan Januari 2024.

Menurut data Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jumlah jualan kenderaan turut merosot dengan hanya 48,732 unit terjual pada bulan Januari 2025, jauh lebih rendah berbanding dengan 66,923 unit pada tahun sebelumnya.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ merekodkan 53,930 pendaftaran kenderaan, menurun berbanding dengan 70,186 pada tahun sebelumnya. Sebahagian jualan akibat lonjakan pembelian pada bulan Disember 2024.

Namun begitu, jualan komponen dan aksesori kenderaan meningkat 8.0 peratus, manakala penyelenggaraan serta pembaikan kenderaan naik 5.1 peratus.

Jualan runcit dalam talian terus menunjukkan prestasi cemerlang dengan peningkatan indeks sebanyak 9.9% tahun ke tahun dan 7.0% bulan ke bulan, manakala sektor perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan volum 3.8% tahun ke tahun dan kenaikan bulanan 0.4% selepas pelarasan musim.

Walaupun pertumbuhan sektor perdagangan borong dan runcit sedikit perlahan akibat penurunan jualan kenderaan bermotor, prospeknya kekal positif didorong oleh penggunaan domestik yang stabil dan peningkatan aktiviti pelancongan sepanjang tahun 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi