Diterbitkan pada 7 Mac 2025, 15:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia mencatatkan rekod jualan eksport sebanyak RM1.67 bilion dalam pameran Gulfood 2025 dengan melepasi sasaran awal RM680 juta.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), jumlah ini merangkumi potensi jualan sebanyak RM1.45 bilion dan jualan sebenar RM216.23 juta, meningkat 12.1% berbanding dengan RM1.49 bilion pada tahun 2024.

Kategori produk utama termasuklah minyak sawit, perasa makanan, makanan diproses, minuman dan suplemen kesihatan menunjukkan permintaan global yang semakin meningkat terhadap produk Malaysia yang berkualiti tinggi dan disahkan halal.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pencapaian ini ialah hasil penyertaan lebih daripada 100 syarikat tempatan yang mempamerkan produk makanan dan minuman halal berkualiti tinggi.

Antara produk yang mendapat perhatian tinggi termasuklah makanan siap saji, ramuan halal serta minuman inovatif yang menepati piawaian antarabangsa.

Menteri MITI, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kejayaan ini membuktikan daya saing produk Malaysia dalam pasaran antarabangsa.

Jelas beliau,

Penyertaan Malaysia di Gulfood bukan sahaja membuka peluang perniagaan baharu, malah mengukuhkan jenama halal Malaysia sebagai pilihan utama pengguna global.

Pameran yang berlangsung di Dubai World Trade Centre, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 17 Februari 2025 hingga 21 Februari 2025 melibatkan 90 syarikat Malaysia di bawah MATRADE serta empat agensi kerajaan, iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), SME Bank, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah.

Gulfood 2025 menarik lebih daripada 5,500 pempamer dari 129 negara dan mempamerkan lebih daripada 1 juta produk.

Menurut MATRADE, Pempamer Malaysia memanfaatkan platform ini untuk mengukuhkan hubungan perniagaan sedia ada dan meneroka peluang baharu dalam UAE serta rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

MATRADE turut memerhatikan peningkatan permintaan bagi makanan berasaskan tumbuhan dan fungsional sebagai trend utama di Gulfood 2025.

Edisi ke-31 Gulfood dijadualkan berlangsung dari 26 Januari 2026 hingga 30 Januari 2026 dengan Malaysia merancang untuk mengukuhkan lagi penyertaannya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi