Diterbitkan pada 6 Mac 2025, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Barcelona – Malaysia telah memperkukuh transformasi digitalnya dengan menandatangani 19 memorandum persefahaman (MoU) bersama-sama peneraju teknologi global semasa di Mobile World Congress (MWC) 2025.

Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching yang menyaksikan pertukaran MoU berkata, MoU ini mencerminkan komitmen pemain industri dalam memajukan inovasi terutamanya dalam bidang teknologi, kecerdasan buatan (AI), 5G dan telekomunikasi.

Jelas beliau,

Mereka menunjukkan komitmen untuk membawa perubahan digital ke Malaysia dan saya berharap MoU ini akan memberikan lebih banyak manfaat kepada rakyat.

Antara kerjasama penting yang dimeterai termasuklah antara CelcomDigi dengan Ericsson yang bertujuan untuk memacu transformasi industri minyak dan gas melalui teknologi 5G.

Selain itu CelcomDigi turut bekerjasama dengan Huawei dalam rangkaian penyatuan tetap mudah alih (fixed-mobile convergence) berasaskan AI.

Digital Nasional Bhd (DNB) pula akan bekerjasama dengan Ericsson untuk mempercepat penggunaan teknologi 5G dalam usaha memperkukuh inisiatif transformasi digital Malaysia.

DNB turut berkolaborasi dengan META untuk Pusat Pengalaman DNB bagi meningkatkan kualiti pengalaman pusat menara jarak jauh (RTC).

YTL Communications pula bekerjasama dengan Equinix dalam pembangunan awan AI global dan infrastruktur AI lestari.

Yang terakhir, Maxis dan Huawei membentuk kerjasama bagi mempercepat transformasi digital pintar.

MWC 2025 yang merupakan acara dan pameran teknologi telekomunikasi terbesar di dunia menghimpunkan pemimpin industri, inovator dan pembuat dasar untuk memperkenalkan kemajuan baharu dalam teknologi mudah alih, kesalinghubungan dan transformasi digital.

Dalam acara tersebut, Pavilion Malaysia mempamerkan kemajuan teknologi negara serta peranannya dalam memacu kemajuan melalui penggunaan 5G, infrastruktur digital dan inovasi kolaboratif di rantau ASEAN.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi