Diterbitkan pada 14 Mac 2025, 16:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Inisiatif Perdagangan Digital MADANI (MDT) dilancarkan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan teknologi seperti analisis data besar, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, MDT dapat memenuhi dua misi utama Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, iaitu mempercepat kemajuan teknologi industri serta memastikan keterjaminan ekonomi dan keterangkuman.

MDT juga menyokong komitmen Malaysia terhadap Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) untuk menjadikan negara sebagai peneraju serantau dalam perdagangan digital.

Jelas beliau dalam ucaptama semasa pelancaran MDT,

MDT membantu PKS memperluas pasaran, meningkatkan kecekapan perdagangan dan mempercepat peralihan ke arah pendigitalan, sekali gus memastikan Malaysia terus berdaya saing dalam ekonomi digital global.

YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul melancarkan MDT.

Ujar beliau lagi,

Inisiatif ini dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bersama-sama Nazsoft Tech Sdn. Bhd. MDT memudahkan promosi eksport dan meningkatkan kebolehlihatan jenama Malaysia dalam pasaran serantau dan antarabangsa.

MDT menyediakan platform digital untuk pameran maya, mesyuarat perniagaan dan padanan perniagaan antara pembeli dengan penjual.

MDT turut menawarkan program latihan, khidmat nasihat, webinar dan sistem permohonan geran untuk membantu perniagaan menguasai platform dengan berkesan.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyatakan komitmen untuk memastikan kemajuan dalam Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (PED) termasuklah memuktamadkan rundingan DEFA ASEAN yang dijangka selesai pada akhir tahun ini.

Tambah beliau,

Namun begitu, PED yang paling berkaitan dengan agenda kita pada hari ini ialah rundingan DEFA ASEAN, sebuah inisiatif penting yang bertujuan untuk mempercepat transformasi digital dan memperkukuh integrasi dalam ASEAN.

Dengan penerimaan digital sepenuhnya, PKS dapat memanfaatkan permintaan pengguna di seluruh ASEAN yang mempunyai 680 juta penduduk.

Perdagangan intra-ASEAN kini sekitar 23 peratus hingga 24 peratus dan PKS Malaysia berpotensi menyediakan perkhidmatan ke pasaran sejauh Amerika Selatan dan Afrika.

Melalui MDT, PKS dapat menyertai rantaian nilai global, mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan menyokong kemajuan negara.

Bagi syarikat dan PKS tempatan, MDT menawarkan platform sehenti untuk penyelesaian digital, membantu meluaskan jangkauan pasaran, menyelaraskan proses eksport, akses sokongan kewangan dan memanfaatkan risikan perniagaan masa nyata.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi