Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur –Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan Encik Aznan Abdul Aziz sebagai Timbalan Gabenor baharu yang akan memulakan perkhidmatan pada 1 April 2025 selama tiga tahun.
Dalam satu kenyataan, BNM menyatakan bahawa Encik Aznan akan menyelia sektor penyeliaan dan pengawalseliaan serta menjadi Ahli Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Dasar Monetari BNM.
Beliau juga akan terus berkhidmat dalam pelbagai jawatankuasa BNM termasuklah Jawatankuasa Pengurusan Rizab, Jawatankuasa Pengurusan Risiko, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan, Jawatankuasa Dasar Bersama, Jawatankuasa Penguatkuasaan, Jawatankuasa Digital dan Teknologi serta Jawatankuasa Pengurusan Krisis.
Beliau memiliki Ijazah Ekonomi dan Perakaunan dari Universiti Bristol, United Kingdom. Pada masa kini, Encik Aznan juga memegang beberapa jawatan penting antaranya termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Audit Lembaga Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa, Ahli Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Audit serta Risiko Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Penyelia Insurans Antarabangsa dan ahli ex officio Yayasan Pelaporan Kewangan.
Pada masa yang sama, BNM turut mengumumkan pelantikan YBhg. Datuk Jessica Chew Cheng Lian sebagai Penasihat Teknikal dalam hal kestabilan kewangan selepas bersara daripada BNM.
BNM menyatakan penghargaan yang tinggi kepada Datuk Jessica atas sumbangan besar beliau kepada BNM dan negara terutamanya dalam membantu mencapai kecemerlangan sepanjang 34 tahun perkhidmatannya.
Selain itu, BNM juga mengumumkan pelantikan Puan Cindy Siah Hooi Hoon sebagai Penolong Gabenor baharu. Dalam pelantikan ini, Puan Cindy akan bertanggungjawab terhadap Penyeliaan Konglomerat Kewangan, Penyeliaan Perbankan, Penyeliaan Insurans dan Takaful, Pakar Risiko dan Penyeliaan Teknologi serta jabatan Pemantauan Perkhidmatan Pembayaran.
Puan Cindy mempunyai latar belakang yang kukuh dalam bidang kewangan dan perakaunan serta pernah berkhidmat di Jabatan Dasar Kewangan dan Penyeliaan Perbankan Prudential. Beliau juga merupakan Felo Persatuan Akauntan Bertauliah dan pemegang piagam Penganalisis Kewangan Bertauliah. Puan Cindy memegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan dari Universiti Warwick, United Kingdom.
BNM mengucapkan tahniah kepada semua yang dilantik dan berharap mereka dapat terus menyumbang kepada kemajuan dan kestabilan sistem kewangan negara.