Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dijangka mengeluarkan 300 Lesen Perubahan Sementara kepada pengusaha bas ekonomi bagi menampung permintaan tinggi sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan penumpang dapat menikmati perkhidmatan bas yang berkualiti dengan harga yang berpatutan.
Menurut APAD, tambang siling untuk bas ekonomi dikawal pada kadar RM0.93 sen setiap kilometer dengan tambahan 10 peratus, manakala tiada tambang siling dikenakan untuk perkhidmatan bas eksekutif sepanjang musim perayaan.
“Perkhidmatan bas ekonomi dilengkapi dengan kemudahan asas dan penyaman udara, manakala perkhidmatan bas eksekutif menawarkan keselesaan lebih tinggi dengan tempat duduk luas, lampu baca, minuman, makanan ringan, kerusi sandar, televisyen dan pemain multimedia,” jelas kenyataan APAD.
Selain itu, pemantauan ketat akan dilaksanakan untuk memastikan pengendali bas mematuhi jadual tambang yang telah ditetapkan.
APAD turut menerima maklum balas mengenai kekeliruan pengguna yang membeli tiket eksekutif yang lebih mahal sedangkan mereka berniat untuk memilih tiket ekonomi.
Oleh itu, APAD mengarahkan pusat penjualan tiket termasuklah secara dalam talian untuk memaparkan maklumat jelas mengenai perkhidmatan yang dipilih supaya pengguna boleh memilih tiket yang sesuai dengan harga yang dibayar.
Sejak kali terakhir semakan jadual tambang pada September 2013, APAD merancang untuk menyemak semula dasar dan peraturan berkaitan dengannya termasuklah kemungkinan pengenalan tambang siling untuk perkhidmatan eksekutif. Semakan ini memerlukan masa kerana melibatkan pindaan perundangan.
APAD juga mengingatkan pengendali untuk mematuhi jadual tambang yang ditetapkan. Tindakan tegas boleh diambil di bawah Seksyen 27 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) jika pengendali gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuklah penggantungan atau pembatalan lesen pengendali.