Diterbitkan pada 14 Mac 2025, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memperkenalkan Rangka Kerja Audit Cukai Pendapatan dan Majikan (RKA CPM) sebagai usaha untuk meningkatkan kepercayaan pembayar cukai terhadap sistem percukaian negara. Rangka kerja baharu ini akan berkuat kuasa pada 15 Mac 2025.

Menurut kenyataan media HASiL, rangka kerja baharu ini bertujuan untuk menyeragamkan pelaksanaan audit cukai dan memastikan setiap proses dijalankan secara lebih teratur, profesional serta berpandukan perundangan yang berkuat kuasa.

Skop rangka kerja ini merangkumi audit cukai pendapatan, audit cukai pegangan, audit cukai keuntungan modal, audit aktiviti perniagaan Labuan dan audit majikan.

Dalam melaksanakan fungsinya sebagai pentadbir cukai langsung di Malaysia, HASiL menekankan aspek pematuhan cukai sebagai elemen utama untuk membentuk pembayar cukai yang patuh dan cakna terhadap undang-undang percukaian negara. 

RKA CPM akan menggantikan beberapa rangka kerja audit terdahulu seperti Rangka Kerja Audit Cukai (berkuat kuasa 1 Mei 2022); Rangka Kerja Audit Cukai Kewangan dan Insurans (berkuat kuasa 1 Mei 2022); Rangka Kerja Audit Cukai Petroleum (berkuat kuasa 1 Mei 2022); Rangka Kerja Audit Majikan (berkuat kuasa 1 Oktober 2021) dan Rangka Kerja Audit Cukai Pegangan (berkuat kuasa 1 Ogos 2015).

RKA CPM turut menggariskan hak dan tanggungjawab pegawai audit, pembayar cukai serta ejen cukai bagi memastikan audit cukai pendapatan dan majikan dilaksanakan dengan adil, telus dan saksama. 

Dengan pelaksanaan audit yang lebih efektif, tahap pematuhan cukai dapat ditingkatkan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Sebagai panduan dan rujukan kepada pembayar cukai, RKA CM telah dimuat naik ke portal rasmi HASiL.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi