Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Peluang kerjaya dalam bidang perakaunan Islam semakin berkembang dengan permintaan yang tinggi untuk profesional yang memahami sistem kewangan berteraskan syariah.
Graduan yang mempunyai kepakaran dalam kewangan Islam berpeluang cerah untuk menceburi sektor perbankan Islam, institusi zakat, pengurusan wakaf serta perundingan kewangan syariah.
Demikian menurut Pengarah Perhubungan Pelanggan Negeri Pahang, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Tuan Haji Rosdi Ab Rahim dalam forum bertajuk “Accounting For Islamic Finance: Opportunities and Prospects” yang dianjurkan oleh Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan BIMB.
Program ini bukan sahaja menunjukkan perkembangan pesat bidang kewangan Islam tetapi juga membuka peluang besar untuk diceburi oleh generasi muda pada masa hadapan.
Forum tersebut menampilkan ahli panel berpengalaman dalam bidang kewangan Islam antaranya termasuklah Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), YBrs. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman; Timbalan Dekan Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Romzie Rosman; Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif (Pengurusan dan Dasar) MUIP, Encik Khairuddin Ismail; dan Pengarah Perhubungan Pelanggan Negeri Pahang BIMB, Tuan Haji Rosdi Ab Rahim. Program ini dikendalikan oleh moderator Haji Mohd Faizul Abdul Hadi Nor, Bendahari UnIPSAS.

Dalam sesi perkongsian, Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman menegaskan bahawa kewangan Islam bukan sekadar alternatif kepada sistem kewangan konvensional tetapi juga satu model ekonomi berteraskan etika yang menekankan keadilan dan kesejahteraan sosial.
Perakaunan dalam kewangan Islam perlu lebih ketat dalam aspek ketelusan, akauntabiliti dan pematuhan kepada nilai Islam bagi memastikan kesejahteraan ekonomi berlandaskan prinsip syariah.
Sementara itu, Profesor Dr. Romzie Rosman pula membangkitkan cabaran yang dihadapi profesion perakaunan dalam institusi kewangan Islam khususnya dalam memastikan kepatuhan kepada prinsip syariah tanpa mengorbankan kecekapan operasi.
Cabaran utama dalam perakaunan Islam adalah untuk memastikan kepatuhan penuh terhadap syariah tanpa mengorbankan kecekapan operasi.
Encik Khairuddin Ismail berkongsi peranan Majlis Agama Islam dan Baitulmal dalam mengurus dana zakat dan wakaf, memastikan pengagihannya dilakukan dengan telus dan memberikan manfaat yang sewajarnya kepada golongan asnaf.
Keperluan tenaga kerja mahir dalam bidang perakaunan Islam semakin meningkat untuk memastikan pengurusan dana ini berjalan dengan lebih sistematik dan profesional.
Hal ini bukan sahaja dapat membantu golongan yang memerlukan tetapi juga memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem kewangan Islam.
Forum ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada pelajar untuk mendalami peluang kerjaya dalam bidang Perakaunan dan Kewangan Islam serta peranan penting sektor ini dalam industri perbankan, pengurusan zakat dan ekonomi Islam.
Di samping itu, program ini memberikan alternatif kepada pelajar untuk memilih perakaunan sebagai profesion kerjaya yang selaras dengan perkembangan sektor kewangan Islam.
Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UnIPSAS, Profesor Madya Dr. Ahmat Effat Mokhtar, Dekan Fakulti Pengurusan dan Informatik, Dr. Nurul Khair Ishak serta pensyarah fakulti dan guru sekolah.
Program ini turut mendapat sambutan luar biasa daripada pelajar UnIPSAS dan pelajar Tingkatan Enam dari sekolah sekitar Kuantan yang berminat untuk meneroka prospek kerjaya dalam bidang Perakaunan dan Kewangan Islam.