Diterbitkan pada 12 Mac 2025, 13:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Peranan pengamal media sangat penting dalam menyebarkan maklumat yang tepat dan jelas berkaitan dengan dasar, inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL).

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin menyampaikan ucapan penghargaan dalam Majlis Iftar HASiL.

Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, melalui liputan berita, artikel dan siaran media sosial yang meluas di saluran media perdana, hasrat untuk meningkatkan kesedaran awam berkaitan dengan kepentingan dan tanggungjawab percukaian dapat dicapai.

“Keberadaan rakan komuniti media akan menyemarakkan semangat HASiL untuk memberikan komitmen terbaik dalam melaksanakan amanah kepada masyarakat dan negara. Dengan berlangsungnya majlis ini, semoga jalinan kerjasama yang baik antara HASiL dengan agensi media dalam mencapai gagasan Malaysia MADANI dapat diperkukuh,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Iftar HASiL di The Westin Hotel Kuala Lumpur, semalam yang turut dihadiri oleh hampir 100 orang pengamal media dari 50 agensi.

Menurut YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq, pelaporan berterusan mengenai maklumat percukaian adalah penting untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran pembayar cukai terhadap tanggungjawab mereka.

Beliau juga menekankan bahawa usaha untuk menyemaikan rasa bangga dalam membayar cukai adalah perlu, menjadikan cukai bukan sebagai satu bebanan tetapi sebagai sumbangan penting kepada negara.

“Dengan bantuan pengamal media, HASiL mampu mengubah persepsi ini dengan menyampaikan naratif yang tepat mengenai kepentingan cukai kepada negara, bangsa dan agama,” ujar beliau.

Penganjuran majlis ini sebagai tanda penghargaan kepada pihak media atas sumbangan dan kerjasama dalam membantu menjayakan program HASiL yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan hasil kutipan cukai untuk tahun 2024.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), YBhg. Datuk Hisham Rusli; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), Encik Khairul Halimin Abdul Halim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), Encik Shaharrudy Othman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar), Puan Norfaidah Daud; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas), Encik Ahmad Khairuddin Abdullah serta pengurusan kanan HASiL.

Kredit Foto: Lembaga Hasil Dalam Negeri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi