Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 11 Mac 2025, 10:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Industri jualan langsung mencatatkan sumbangan yang signifikan kepada ekonomi negara pada penghujung tahun lalu dengan nilai berjumlah RM34.4 bilion, meningkat 7.4% berbanding dengan rekod sebelumnya berjumlah RM32.04 bilion.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Hajah Fuziah Salleh menyatakan bahawa kesungguhan industri jualan langsung Malaysia telah membuahkan hasil yang membanggakan dengan negara berjaya mengekalkan kedudukan ke-6 di dunia dan ke-4 di Asia Pasifik sepanjang tempoh tahun 2020 hingga tahun 2024.

Tambah beliau, pencapaian tersebut berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh World Federation of Direct Selling Associations (WFDSA).

Malaysia telah diiktiraf sebagai negara dengan penembusan pasaran tertinggi pada peringkat global mencatatkan jumlah sebanyak 2.28 peratus.

“Pengiktirafan ini berjaya mengangkat industri jualan langsung Malaysia pada tahap yang setaraf dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jerman, China dan Jepun,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 45 buah syarikat telah menerima Lesen Jualan Langsung daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam yang terdiri daripada 18 buah syarikat bagi lesen baharu manakala 27 buah syarikat lagi memperbaharui lesen mereka.

Melalui pemberian lesen jualan langsung ini, diharapkan semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti, kejujuran dan memastikan hak pengguna sentiasa dilindungi.

KPDN berperanan dan bertanggungjawab mengawal selia industri jualan langsung menerusi Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (Akta 500). Jelas beliau, pihaknya sedang meminda Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (Akta 500) secara komprehensif seiring dengan perkembangan industri jualan langsung di Malaysia dan global.

Penambahbaikan dalam akta ini bertujuan untuk menyesuaikan industri dengan perubahan dinamik pasaran semasa.

Matlamat utama adalah untuk mewujudkan ekosistem industri jualan langsung yang lebih menyeluruh, mapan, holistik dan menggalakkan amalan perniagaan yang beretika.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa pindaan akta berkenaan merupakan manifestasi dan komitmen KPDN dalam usaha membangun dan mengembangkan industri jualan langsung di negara ini.

Beliau turut mengulas bahawa usaha tersebut sejajar dengan aspirasi kerajaan melalui konsep Malaysia MADANI untuk memperkukuh kemakmuran negara agar dapat dikongsi secara adil, saksama dan inklusif kepada semua lapisan masyarakat.

Kerajaan kekal optimis bahawa industri jualan langsung akan terus cemerlang dan berkembang secara holistik sekali gus mencipta peluang perniagaan, menjanakan pendapatan masyarakat serta memberikan impak positif melalui sumbangannya terhadap pembangunan dan pertumbuhan sosioekonomi negara.

“KPDN akan meneruskan agenda untuk merancakkan pembangunan industri jualan langsung melalui usaha mendaya upaya perkhidmatan dan produk ke arah pewujudan ekosistem perniagaan yang kondusif serta dinamik,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi