Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 10 Mac 2025, 17:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

CyberjayaPerdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada warga kerja Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) atas usaha gigih dalam memastikan sistem percukaian negara terus berfungsi dengan cekap, adil dan inklusif selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Demikian menurut beliau sewaktu Majlis Perasmian Sambutan Hari Hasil ke-29 yang diadakan di Dewan Bangsawan, Menara Hasil, Cyberjaya, pagi tadi.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada warga kerja HASiL atas kejayaan mencipta rekod kutipan cukai langsung tertinggi dalam sejarah pada tahun lalu.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada warga kerja HASiL yang berjaya mencatatkan rekod kutipan cukai langsung tertinggi dalam sejarah negara, iaitu sebanyak RM184.805 bilion pada tahun 2024, meningkat sebanyak RM1.465 bilion atau 0.8 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun 2023.

Kutipan cukai langsung yang menyumbang lebih daripada 50 peratus kepada hasil Kerajaan Persekutuan ini memainkan peranan penting dalam merangka agenda reformasi fiskal negara termasuklah peluasan hasil cukai progresif dan penyasaran subsidi yang lebih adil, telus dan berkesan.

Beliau turut memuji HASiL atas penguatkuasaan yang lebih berfokus dan kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan lain yang berjaya meningkatkan kutipan hasil dan tahap pematuhan cukai.

Perdana Menteri juga menyeru semua pihak untuk menjalankan tanggungjawab percukaian dengan penuh kesedaran demi kemajuan dan kesejahteraan negara.

Majlis perasmian tersebut turut diserikan dengan pelancaran dua transformasi sistem baharu yang memudahkan urusan percukaian, iaitu Sistem MyInvois e-POS dan penyelarasan Sistem Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta MyTax dengan MyDigital ID.

Sistem MyInvois e-POS ialah platform digital percuma yang direka khas untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan pendapatan tahunan di bawah RM250,000 bertujuan untuk memudahkan pengurusan e-invois dan meningkatkan kecekapan operasi perniagaan.

Selain itu, MyDigital ID telah diselaraskan dalam sistem percukaian dan bantuan kerajaan yang membolehkan pengguna mengakses perkhidmatan seperti STR dan MyTax dengan lebih efisien. Sehingga 10 Mac 2025, sebanyak 655,336 pengguna telah memanfaatkan MyDigital ID untuk memudahkan urusan percukaian mereka.

Sebagai tanda penghargaan, sepuluh syarikat korporat dengan prestasi pematuhan cukai terbaik telah dipilih untuk menerima Anugerah Pembayar Cukai Terbaik Tahun 2024. Antara penerimanya termasuklah OCBC Bank (Malaysia) Bhd., Bank Pembangunan Malaysia Berhad, RHB Islamic Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Pelangi Sdn. Bhd., Future Golden Development Sdn. Bhd., R&F Development Sdn. Bhd., PETRONAS LNG Sdn. Bhd., Grabcar Sdn. Bhd. dan Renesas Electronics (Penang) Sdn. Bhd.

HASiL juga turut mengiktiraf lima orang warga kerjanya dengan Anugerah “Most Outstanding Hasilian” (MOH) Tahun 2024 atas kecemerlangan dan integriti mereka dalam melaksanakan tugas.

Penerima MOH 2024 ialah YBrs. Dr. Rasyidah Che Rosli dari Sektor Operasi Cukai; Puan Sharifah Hakimah Syed Abu Bakar dari Jabatan Khidmat Korporat; YBrs. Ts. Dr. Raja Azhan Syah Raja Wahab dari Akademi Percukaian Malaysia; Encik Izzat Emir Ibrahim dari HASiL Perlis serta Encik Eddy Mansor dari HASiL Perak.

Yang turut hadir ialah Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, YB Puan Lim Hui Ying; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Anggota Lembaga LHDNM, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi