Diterbitkan pada 9 Mac 2025, 17:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hulu Terengganu – FELCRA Berhad terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin kesejahteraan peserta luar bandar dengan mencatatkan kenaikan luar biasa, iaitu 154 peratus dalam agihan keuntungan akhir tahun 2024, meningkat sebanyak RM116 juta berbanding dengan tahun sebelumnya, sekali gus memberikan manfaat kepada lebih 68,300 peserta.

Pengumuman tersebut disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Hulu Terengganu, semalam.

Jumlah keuntungan boleh agih FELCRA bagi tahun 2024 mencapai RM192.51 juta termasuklah di 583 projek seluruh negara. Jumlah tersebut meningkatkan purata pendapatan bersih peserta kepada RM4420 per hektar setahun dan memperkukuh kestabilan ekonomi luar bandar.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempat mengacau bubur lambuk versi Terengganu

Peningkatan prestasi FELCRA didorong oleh hasil ladang kelapa sawit yang lebih baik dan strategi penjimatan kos pengeluaran.

Menurut Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dengan sokongan KKDW dan strategi mampan, FELCRA optimis mencapai sasaran lebih tinggi pada masa hadapan, sejajar dengan aspirasi kerajaan dalam memperkasakan sektor luar bandar.

Sementara itu, beliau berkata, kehadiran hampir 2500 orang yang terdiri daripada penduduk Kampung Kuala Akob dan kawasan sekitar menjadikan program anjuran FELCRA tersebut lebih bermakna dan meriah dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

“Lebih istimewa lagi apabila penduduk kampung bersama-sama bergotong-royong menyediakan juadah berbuka. Masakan sangat sedap dan saya sempat juga mengacau bubur lambuk bersama-sama, memahat satu kenangan manis yang akan sentiasa terpahat dalam ingatan saya,” ujar beliau.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Yang Berhormat (YB) Datuk Hajah Rubiah Haji Wang; Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Tuan Meor Ismail Meor Akim; Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan), Dato’ Dr. Roslan Mahmood serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi.

 

Kredit Foto: Zahid Hamidi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi