Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan Persekutuan mengumumkan kenaikan kadar baharu untuk Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant) sebanyak 25 peratus atau RM109 juta, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kepada RM548 juta yang akan berkuatkuasa pada tahun 2026.
Menurut Kementerian Kewangan, kenaikan ini telah diluluskan dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2025 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu.
Kementerian itu turut menyatakan bahawa ini adalah kali pertama kadar Capitation Grant dikaji semula sejak tahun 2002. Semakan kadar ini mencerminkan komitmen kerajaan MADANI untuk menyokong kerajaan negeri dalam memastikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
Selain itu, mesyuarat tersebut juga meluluskan penambahbaikan kepada garis panduan pelaksanaan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT). Kerajaan MADANI terus menumpukan usaha untuk memelihara alam sekitar dengan peningkatan peruntukan EFT pada tahun 2023 adalah sebanyak RM150 juta, meningkat kepada RM200 juta pada tahun 2024 dan seterusnya RM250 juta pada tahun 2025.
Dalam kenyataannya, Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa melalui Majlis Kewangan Negara, kerajaan MADANI menunjukkan komitmennya dalam bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk pembangunan negara.
Beliau turut menyatakan bahawa pada tahun 2024, pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri dijangka mencecah RM9.3 bilion dan akan meningkat kepada RM9.8 bilion pada tahun 2025 bagi memastikan manfaat tersebut sampai kepada semua rakyat Malaysia.
Kerajaan Persekutuan juga akan melaksanakan pembangunan terangkum pada tahun 2025 dengan projek pembangunan baru diselaraskan mengikut keutamaan setiap kerajaan negeri. Selain itu, peruntukan untuk program pertanian melalui kerjasama dengan kerajaan negeri juga ditingkatkan kepada RM300 juta pada tahun 2025 berbanding dengan RM150 juta pada tahun 2024.
Kementerian Kewangan menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan komited untuk terus menjaga hubungan baik dengan semua kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.