Diterbitkan pada 7 Mac 2025, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPS) Bank Negara Malaysia (BNM) bersetuju untuk mengekalkan kadar dasar semalam (OPR) pada tiga peratus.

Tahap OPR ini selaras dengan keadaan semasa ekonomi Malaysia dan kekal menyokong pertumbuhan yang berterusan. Oleh itu, MPS akan terus peka terhadap perkembangan global serta kesannya kepada ekonomi Malaysia.

Perkembangan terkini menunjukkan keadaan ekonomi Malaysia terus berkembang. Pertumbuhan guna tenaga dan upah serta langkah dasar dalam negeri menyokong perbelanjaan isi rumah.

Selain itu, eksport yang lebih tinggi disokong oleh perdagangan global dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi. Projek pelaburan swasta dan awam terus dilaksanakan dengan giat serta pergerakan ringgit terus didorong terutamanya oleh perkembangan luaran.

Prospek ekonomi negara diunjurkan akan berada dalam keadaan yang kukuh berteraskan permintaan dalam negeri, manakala inflasi dijangka kekal terkawal. Aktiviti seperti pelaburan dalam negeri yang mantap serta perbelanjaan isi rumah yang berterusan akan terus menjadi teras kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Persekitaran global dilihat sebagai satu faktor yang mungkin sedikit sebanyak akan mempengaruhi eksport negara, namun permintaan untuk produk teknologi yang semakin berterusan serta perbelanjaan pelancongan akan memberikan sokongan kepada negara.

Dalam masa yang sama, kos global yang menurun dan permintaan dalam negeri yang stabil akan mengawal tekanan harga. Dasar berkaitan dengan upah akan memberikan sokongan tambahan terhadap permintaan, namun impak terhadap inflasi dijangka terhad.

Pengurangan kadar faedah dalam ekonomi maju dan prospek dalam negeri yang positif dijangka memberikan sokongan kepada ringgit. OPR diharapkan akan terus menyokong pertumbuhan dan pada masa yang sama terus mengawal inflasi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi