Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa melalui pelaksanaan e-Invois, HASiL berjaya mengenal pasti sebanyak 66,000 perniagaan tidak mempunyai atau mematuhi bayaran ansuran anggaran cukai dan tiada rekod pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan oleh perniagaan berkenaan mengikut peruntukan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).
Dalam satu kenyataan media, perniagaan terlibat disarankan untuk sentiasa mengemas kini rekod cukai dan memastikan pematuhan sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan diambil oleh pihak HASiL.
Dengan pelaksanaan e-Invois, HASiL memantau secara aktif data pembayar cukai yang telah disahkan dalam sistem MyInvois untuk memastikan pematuhan cukai secara sukarela dan berterusan, selaras dengan prinsip keadilan dalam sistem percukaian negara.
Penyertaan pembayar cukai ini bukan sahaja melibatkan pembayar cukai fasa pertama dan kedua yang melaksanakan e-Invois mulai 1 Januari 2025 tetapi turut disertai oleh pembayar cukai fasa ketiga secara sukarela. Hal ini menunjukkan tahap penerimaan yang baik oleh pembayar cukai dalam mematuhi pelaksanaan e-Invois.
Selain itu, HASiL turut memaklumkan bahawa tempoh kelonggaran pembayar cukai fasa pertama telah tamat pada 31 Januari 2025 dan mereka perlu melaksanakan e-Invois sepenuhnya mengikut garis panduan e-Invois bermula 1 Februari 2025.
Sebagai rekod, sehingga 3 Mac 2025 sekitar 196 juta e-Invois telah dikeluarkan secara keseluruhan oleh HASiL.