Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa perkhidmatan e-Filing bagi Tahun Taksiran 2024 akan dibuka mulai 1 Mac 2025.
Pengemukaan Borang Nyata (BN) untuk Tahun Saraan 2024 dan Tahun Taksiran 2024 melalui e-Filing bagi Borang E, BE, B, M, BT, MT, P, TF, TJ dan TP akan dilaksanakan secara mandatori menggunakan perkhidmatan dalam talian melalui portal MyTax.
Pembayar cukai dan majikan boleh mengakses perkhidmatan ini terus ke portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my atau melalui portal rasmi HASiL di https://www.hasil.gov.my dengan memilih MyTax dan kemudian Perkhidmatan ezHasil serta e-Filing. Ejen cukai pula perlu menggunakan platform Tax Agent e-Filing System (TAeF) yang boleh diakses melalui portal MyTax.
Pembayar cukai perlu memastikan mereka mempunyai peranan yang berkaitan dengannya di MyTax untuk membolehkan pengemukaan BN melalui e-Filing.
Bagi kategori BN BE, B, M, BT dan MT, peranan yang diperlukan adalah sebagai individu. Untuk kategori BN E dan C.P.8D, peranan yang diperlukan ialah sebagai majikan atau wakil majikan. Bagi kategori BN P dan TF, peranan yang diperlukan ialah sebagai pengarah syarikat, pentadbir organisasi atau wakil pengarah. Untuk kategori BN TJ, peranan yang diperlukan ialah sebagai pengarah syarikat atau pentadbir organisasi, manakala bagi kategori BN TP, peranan yang diperlukan ialah sebagai pentadbir harta pusaka.
Pembayar cukai dinasihatkan untuk membuat persediaan awal dengan mengumpulkan dokumen seperti penyata pendapatan, resit, invois dan dokumen berkaitan dengan cukai pendapatan untuk memudahkan pengemukaan BN Tahun Taksiran 2024.
Sekiranya pembayar cukai terlupa kata laluan, mereka boleh menetapkan semula kata laluan dengan log masuk ke portal MyTax, memilih jenis pengenalan, memasukkan nombor pengenalan, menghantar dan klik pautan “Lupa Kata Laluan” serta memilih medium set semula. Pautan untuk membina kata laluan baharu akan dihantar ke e-mel berdaftar pembayar cukai.
Sebagai panduan, pembayar cukai dinasihatkan untuk merujuk Program Memfail BN bagi Tahun 2025 yang boleh diakses dan dimuat turun melalui laman web rasmi HASiL.
Menurut kenyataan HASiL, kegagalan mengemukakan BN dan melaporkan pendapatan sebenar dalam tempoh yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan di bawah subseksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
Bagi kesalahan gagal menyerahkan BN untuk mana-mana satu tahun taksiran atau memberikan notis pengenaan cukai bagi individu yang baru tiba di Malaysia, denda yang dikenakan adalah antara RM200 hingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Sekiranya pembayar cukai lewat mengemukakan BN, pengenaan penalti di bawah subseksyen 112(3) ACP 1967 adalah berdasarkan tempoh kelewatan selepas tarikh akhir pengemukaan BN.
Bagi kelewatan sehingga 12 bulan, kadar penalti yang dikenakan ialah 15 peratus. Bagi kelewatan melebihi 12 bulan hingga 24 bulan, kadar penalti ialah 30 peratus dan bagi kelewatan melebihi 24 bulan, kadar penalti ialah 45 peratus.