Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) terus memperkukuh ekonomi negeri dengan perancangan pembinaan pusat data pertama di Pahang yang akan dibina di Taman Teknologi Pahang, Gambang.
Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, YBhg. Dato’ Mohd Faizal Jaafar, ketika merasmikan Majlis Prapelancaran Sambutan 60 Tahun Penubuhan PKNP di Kompleks Teruntum, semalam.
Menurut beliau, PKNP telah memuktamadkan kerjasama dengan Fire Phoenix International (M) Sdn. Bhd. baru-baru ini untuk mengusahakan projek pusat data yang berasaskan industri pertanian.
“Projek ini dijangka akan dimulakan setelah urusan kelulusan selesai di semua peringkat berkaitan dengannya dan dijangka memberikan pulangan nilai pelaburan yang baik kepada negeri Pahang,” kata Dato’ Mohd Faizal.
Beliau turut menambah, “PKNP sebagai agensi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM3.69 bilion pada tahun 2024, menjadikannya agensi utama di Pahang dalam merangsang pelaburan ke negeri ini.”

Sebelum itu, Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, dalam kenyataannya pada 16 Januari 2025 memaklumkan bahawa Pahang akan membangunkan Pusat Data Kecerdasan Buatan (AIDC) melalui PKNP untuk menggalakkan industri digital negara.
Pada masa yang sama, PKNP yang bakal menyambut ulang tahun Jubli Intan (60 tahun) penubuhannya pada 27 Disember 2025 telah merancang 20 aktiviti melibatkan kemasyarakatan, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan program sukan bagi menggalakkan pelibatan masyarakat, khususnya rakyat Pahang.
PKNP sebagai agensi yang berperanan dalam pembangunan ekonomi dan sosial negeri Pahang terus komited dalam membantu kerajaan negeri mencapai sasaran nilai pelaburan yang telah ditetapkan.
Yang turut hadir ialah Penolong Pegawai Pemerintah, Rejimen 505 Askar Wataniah, YBhg. Mejar Saidi Mokhtar; Pengarah Jabatan hal Ehwal Kesatuan Sekerja Pahang, Encik Mohd Rizal Salleh dan Pegawai Pertahanan Awam Negeri Pahang, Mejar (PA) Zahidi Zainudin.