Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJohor Bahru – Sebanyak 1,816 orang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) melibatkan 2,495 kes di seluruh negara akan menangani isu pematuhan cukai melalui pelaksanaan operasi pematuhan peringkat nasional tahun 2025 dengan pelancaran OP Dagang.
Operasi ini merupakan kerjasama kali kedua antara agensi dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada tahun ini yang berlangsung selama lima hari mulai 24 Februari hingga 28 Februari 2025, secara serentak di seluruh negara.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin yang diadakan di Menara HASiL, Johor Bahru.
Menurut Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, pelaksanaan OP Dagang ini telah dirancang dengan teliti melibatkan semua pasukan pelaksana dari HASiL negeri seluruh negara dan cawangan khas bagi memantapkan gerak kerja yang lebih efektif ke arah meningkatkan pematuhan cukai dalam kalangan masyarakat dan seterusnya menyumbang kepada keutuhan landskap pembangunan negara.

Fokus utama pelaksanaan OP Dagang kali ini memberikan tumpuan kepada empat aktiviti utama yang merangkumi audit, pematuhan strategik (siasatan), operasi verifikasi pembayar cukai dan pungutan.
Tumpuan utama diberikan kepada lima sektor industri yang terpilih, iaitu pembinaan, pembuatan, hartanah, pengangkutan dan penyimpanan serta pertanian.
Dalam sektor ini, beberapa risiko dikenal pasti antaranya termasuklah syarikat yang melaporkan pendapatan di bawah margin industri, yang memerlukan penelitian lanjut bagi memastikan ketepatan laporan kewangan. Selain itu, syarikat yang belum pernah diaudit turut diberikan perhatian bagi menjamin pelaporan dibuat dengan betul dan mengikut piawaian yang ditetapkan.
Syarikat yang menuntut insentif juga disemak bagi memastikan semua tuntutan dibuat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Syarikat yang menjalankan transaksi harga pindahan dengan syarikat berkaitan dengannya di luar negara akan turut diperiksa bagi memastikan pematuhan terhadap prinsip harga selengan.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Kastam Johor, Bahagian Pematuhan, JKDM, YBrs. Puan Raja Normala I. Ali; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) HASiL, YBhg. Datuk Hisham Rusli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Pematuhan) HASiL, YBrs. Encik Shaharrudy Othman, barisan pengurusan kanan HASiL serta JKDM.

Strategi mampan dan amalan tatakelola yang baik juga telah membantu HASiL merekodkan jumlah kutipan yang memberangsangkan pada tahun lalu seterusnya memberikan keyakinan kepada kerajaan dalam mengatur belanjawan negara dengan lebih efisien.