Diterbitkan pada 24 Februari 2025, 08:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Bank Negara Malaysia (BNM) menerbitkan Buletin Suku Tahunan Keempat 2024 yang bertujuan untuk memberikan pemahaman mengenai perkembangan ekonomi dan kewangan semasa.

Buletin ini turut memberikan sorotan terhadap inisiatif dasar yang dilaksanakan oleh BNM bagi memenuhi mandatnya dalam mengawasi institusi kewangan di negara ini serta memastikan keselamatan, kebolehpercayaan dan kecekapan infrastruktur sistem pembayaran, sambil menjaga kepentingan orang ramai.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencatatkan peningkatan lima peratus yang didorong oleh beberapa faktor termasuklah pengembangan aktiviti pelaburan yang kukuh dengan pembentukan modal tetap kasar sebanyak 11.7 peratus.

Selain itu, eksport barang dan perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 8.5 peratus, meskipun sedikit menurun berbanding dengan 11.8 peratus pada suku ketiga tahun yang sama. Perbelanjaan isi rumah turut mencatatkan kenaikan sebanyak 4.9 peratus, menunjukkan permintaan domestik yang mampan.

Pasaran kerja menunjukkan peningkatan dengan kadar pengangguran yang kekal stabil pada 3.2 peratus. Upah nominal sektor swasta pula meningkat kepada 3.1 peratus berbanding dengan tiga peratus pada suku ketiga.

Inflasi keseluruhan menurun kepada 1.8 peratus, disumbang oleh inflasi komunikasi mudah alih yang lebih rendah (-10 peratus) akibat harga promosi perkhidmatan komunikasi mudah alih. Selain itu, inflasi petrol turut mencatatkan penurunan kepada -0.8 peratus berbanding dengan kenaikan pada suku sebelumnya. Namun begitu, inflasi makanan dan minuman meningkat kepada 2.5 peratus, naik 0.9 peratus berbanding dengan suku ketiga.

Ringgit menurun sebanyak 3.4 peratus berbanding dengan mata wang rakan perdagangan melalui Kadar Pertukaran Efektif Nominal (NEER), meskipun kadar penurunan ini lebih rendah berbanding dengan -10 peratus pada suku ketiga. Indeks Dolar Amerika Syarikat pula mencatatkan kenaikan 7.6 peratus, menunjukkan kestabilan yang lebih baik berbanding dengan -4.8 peratus pada suku ketiga.

Penerbitan buletin ini memberikan gambaran jelas tentang perkembangan ekonomi dan tindakan BNM dalam menjaga kestabilan kewangan negara.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi