Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerak – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan merasmikan Menara HASiL Teluk Intan, pada hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, YBhg. Datuk Dr.Abu Tariq Jamaluddin dalam ucapannya berkata, Menara HASiL Teluk Intan merupakan bangunan baharu yang siap dibina dalam usaha HASiL memperkasa pentadbiran percukaian yang lebih cekap dan profesional kepada penduduk Teluk Intan dan sekitarnya.
Tambah beliau, HASiL akan sentiasa memastikan inisiatif terbaharu bagi memaksimumkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pembayar cukai bagi memastikan kadar pematuhan sentiasa berada pada tahap yang optimum.
“HASiL Perak telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam pentadbiran percukaian di negeri Perak dan akan berusaha dengan lebih komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat pada masa hadapan”, ujar beliau lagi.
Sebagai rekod, Pejabat HASiL Teluk Intan mula beroperasi pada tahun 1955 di Bangunan HSBC Bank sebelum pembinaan Menara HASiL Teluk Intan ini. Pada 15 Mei 2018, HASiL Teluk Intan secara rasmi memiliki bangunan sendiri yang dibina di atas tanah berkeluasan 10 ekar.

Majlis perasmian ini turut diserikan dengan keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa, Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan kehadiran Menteri Besar Negeri Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri Kewangan, YB Puan Lim Hui Ying; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican serta barisan kepimpinan negeri Perak dan Pengurusan Tertinggi HASiL.