Diterbitkan pada 16 Februari 2025, 22:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Industri Aeroangkasa Malaysia dijangka mencatatkan pendapatan RM55 bilion menjelang tahun 2030, meningkat daripada anggaran semasa sekitar RM20 bilion hingga RM21 bilion.

Sasaran tersebut selaras dengan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri berkata, antara usaha penting bagi mencapai sasaran ini termasuklah memupuk bakat tempatan yang dianggap sebagai pemangkin utama dalam pembangunan holistik industri aeroangkasa negara.

Malaysia memiliki ekosistem aeroangkasa yang lengkap merangkumi sumber manusia berkemahiran, kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta fasiliti kejuruteraan. Keuntungan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memacu pertumbuhan industri.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Simposium MyAERO TVET 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Menurut beliau, perkembangan seperti pengambilalihan MASwings oleh kerajaan negeri Sarawak menunjukkan peluang yang semakin terbuka dalam sektor ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan akan terus memantau pelaksanaan dan pencapaian inisiatif seperti MyAERO TVET 2025 melalui jawatankuasa khas dan agensi berkaitan dengannya bagi memastikan impak yang diharapkan dapat dicapai.

Simposium MyAERO TVET 2025 yang diadakan bertujuan untuk memperkukuh pembangunan tenaga kerja dalam industri aeroangkasa melalui kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan.

Program ini turut menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman antara kerajaan dengan pemain industri bagi memperkukuh latihan serta pembangunan teknologi aeroangkasa.

Dengan perancangan strategik dan kerjasama erat antara pelbagai pihak, industri aeroangkasa Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk mencapai sasaran pendapatan RM55 bilion menjelang tahun 2030.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi