Diterbitkan pada 16 Februari 2025, 22:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – ASEAN sedang menuju ke arah menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang tahun 2030.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Nik Nazmi Nik Ahmad  berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ekonomi Belia ASEAN (AYEF) 2025.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa pertumbuhan yang inklusif amat penting bagi memastikan manfaat pembangunan ekonomi dapat dinikmati oleh seluruh komuniti.

Jelas beliau,

Meskipun bandar utama seperti Kuala Lumpur, Bangkok dan Jakarta mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi, masih banyak kawasan di ASEAN berhadapan dengan cabaran besar termasuklah kekurangan akses kepada elektrik, pendidikan dan peluang ekonomi.

Menurut beliau, ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia dan unjuran menunjukkan bahawa ASEAN berpotensi mencapai kedudukan keempat menjelang tahun 2030.

Tambah beliau,

Cabaran bukan hanya untuk mencapai kejayaan ini, tetapi juga untuk memanfaatkan kekuatan ekonomi kita dalam mendorong pembangunan yang mampan dan adil untuk semua.

Sebelum itu, dalam ucapannya Nik Nazmi menekankan kepentingan kesepaduan ASEAN dalam menghadapi cabaran global termasuklah isu perubahan iklim.

Ujar beliau,

Kita sedang berusaha menjadi contoh untuk menyatukan ASEAN sebagai sebuah blok dalam Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP 30) 2025 bagi mencapai pendirian bersama mengenai perubahan iklim.

Beliau juga menegaskan bahawa kemajuan ekonomi tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan pertumbuhan keseluruhan KDNK semata-mata.

Jelas beliau,

Kita tidak boleh sekadar berbangga menjadi ekonomi keempat terbesar jika masih terdapat banyak kekurangan akses kepada keperluan asas seperti pendidikan, elektrik dan peluang yang sama bagi wanita. Isu ini juga perlu diberikan perhatian.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa yang lebih penting adalah tentang pertumbuhan ekonomi dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat di seluruh ASEAN, khususnya di kawasan luar bandar dan kurang membangun.

Ujar beliau lagi,

Apa-apa sahaja yang berjaya di Malaysia berkemungkinan besar turut berkesan di Indonesia, Singapura atau Filipina walaupun tidak semestinya dalam semua keadaan. Hal ini demikian kerana negara ini berasal dari rantau yang sama, berkongsi persamaan budaya dan ekonomi serta mempunyai struktur yang serupa.

AYEF 2025 yang berlangsung dari 14 Februari 2025 hingga 17 Februari 2025 di sebuah hotel di sini menjadi platform bagi pemimpin muda dari ASEAN dan Jepun untuk membincangkan isu perubahan iklim dan ketahanan ekonomi..

Dengan tema “Perubahan Iklim dan Membangun Ekonomi yang Tahan Iklim”, forum ini menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri dan wakil belia bagi memperkukuh strategi dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi