Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Perbincangan Meja Bulat bagi memperkukuh kecekapan logistik dan operasi rentas sempadan di Malaysia.
Program ini bertemakan “Memperkukuh Hubungan Serantau dan Kecekapan Operasi: Pandangan Mengenai Integrasi Pelabuhan, Logistik dan Operasi Rentas Sempadan di Malaysia.”
Perbincangan ini dianjurkan oleh Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD), dan Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), UUM dengan kerjasama The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILTM) – Seksyen Kedah, Perlis dan Terengganu serta Pusat Logistik dan Pengangkutan (CeLT), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), UUM.
Majlis ini dirasmikan oleh Pengarah AIIAD, UUM, Profesor Madya Dr. Mohammad Zaki Ahmad dan diteruskan dengan dua sesi pembentangan yang menampilkan pakar akademik serta industri dalam bidang logistik dan perdagangan rentas sempadan.
Antara pembentang utama termasuklah Profesor Madya Ts. Dr. Jagan Jevan, CMILT dari UMT dan Profesor Madya Ts. Dr. Mohamad Ghozali Hassan, CMILT dari UUM yang berkongsi pandangan mengenai kecekapan operasi pelabuhan dan prosedur rentas sempadan di Malaysia.
Sesi kedua pula memberikan tumpuan kepada aspek logistik dan kawal selia barangan dagangan di pintu masuk Malaysia. Mustakim Abdul Kahar dan Madzli Harun telah membentangkan hasil penyelidikan mengenai sistem pengangkutan dan pemeriksaan komprehensif barangan haiwan serta tumbuhan.
Program ini dijangka membuka ruang untuk perkongsian idea serta penyelesaian inovatif dalam meningkatkan kecekapan pengurusan logistik dan operasi rentas sempadan, sekali gus memperkukuh hubungan serantau dalam sektor perdagangan dan pengangkutan.
Yang turut menyertai program ini ialah Kumpulan Penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang membentangkan kajian berkaitan dengan pengurusan pelabuhan di Malaysia.