Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sistem Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk memacu transformasi digital sektor awam ke arah komuniti tanpa tunai.
Menurut Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), sistem ini merupakan sistem terimaan elektronik bersepadu yang dibangunkan bersama pihaknya.
Sistem ini disediakan untuk kegunaan agensi Kerajaan Persekutuan yang masih belum mempunyai sistem terimaan elektronik bagi mengurus pembayaran yang diterima terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh kerajaan.
Menurut JANM lagi, sebelum ini, setiap agensi kerajaan perlu membangunkan sistem pembayaran tanpa tunai masing-masing.
Namun begitu, melalui iPayment, semua agensi kini dapat menyediakan perkhidmatan pembayaran elektronik tanpa kos pembangunan tambahan.
iPayment boleh diakses melalui tiga saluran pembayaran, iaitu portal, kaunter dan aplikasi mudah alih.
Sistem ini memberikan pilihan kepada pelanggan untuk membuat pembayaran kepada Kerajaan secara dalam talian dengan menggunakan mod pembayaran seperti kad debit, kad kredit, kad prabayar, perbankan Internet (DuitNow Online Banking/Wallets), kod QR (DuitNow QR) dan juga e-dompet.
iPayment merupakan inisiatif ePembayaran di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021–2025.
Menurut JANM lagi, sistem ini juga merupakan projek yang dipantau oleh Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara di bawah inisiatif Pelaksanaan Pembayaran Tanpa Tunai Agensi Kerajaan secara Bersepadu.
Pelaksanaan sistem ini menunjukkan komitmen jitu untuk meningkatkan akauntabiliti terimaan kerajaan yang lebih telus dan selamat dalam persekitaran digital.
Tambah JANM, iPayment mula dibangunkan pada awal tahun 2022 dengan Fasa 1 melibatkan saluran portal yang telah bermula pada 1 Mac 2024.
Pelaksanaan Fasa 2 adalah pada 1 Februari 2025 dengan tambahan saluran kaunter dan aplikasi mudah alih.
Kementerian atau agensi perintis yang telah menggunakan sistem ini ialah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), JANM, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Institut Kesihatan Negara, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perikanan (DOF) dan Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Yang turut hadir dalam majlis peluncuran iPayment ialah Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, YB Lim Hui Ying; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican; Akauntan Negara Malaysia, Puan Nor Yati binti Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian.