Diterbitkan pada 11 Februari 2025, 15:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia bagi bulan Disember dan suku tahun keempat 2024, pasaran buruh negara mencatat prestasi positif dengan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) meningkat kepada 70.4 peratus berbanding dengan 70 peratus pada tahun sebelumnya, sementara kadar pengangguran menurun kepada 3.3 peratus daripada 3.5 peratus pada tahun 2023.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, ekonomi negara kekal pada trajektori pertumbuhan positif sepanjang tahun 2024 didorong oleh prestasi ekonomi yang kukuh meskipun berdepan dengan ketidaktentuan luaran yang berterusan.

Beliau menambah bahawa pasaran buruh negara terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang baik dipacu oleh pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.

Jelas beliau,

Sepanjang tahun tersebut, pasaran buruh Malaysia kekal stabil dengan kadar pengangguran yang rendah dan peningkatan guna tenaga didorong oleh permintaan buruh yang berterusan, terutamanya dalam sektor swasta.

Beliau turut menjelaskan bahawa sektor utama seperti pembuatan, khususnya dalam bidang elektrik dan elektronik, serta sektor perkhidmatan dijangka merangsang pertumbuhan peluang pekerjaan yang lebih banyak.

Ujar beliau lagi,

Jangkaan bagi tenaga buruh Malaysia pada tahun 2025 menggalakkan dengan kadar guna tenaga dijangka terus meningkat secara konsisten dan kadar pengangguran kekal rendah.

Statistik tenaga buruh Malaysia pada suku tahun keempat 2024.

Bagi prestasi pasaran buruh pada suku tahun keempat 2024, jumlah tenaga buruh menunjukkan trend peningkatan sebanyak 0.4 peratus dengan mencatatkan 17.34 juta orang berbanding dengan 17.26 juta orang pada suku tahun sebelumnya.

Beliau berkata, jumlah penduduk yang bekerja meningkat sebanyak 0.5 peratus dengan merekodkan 16.79 juta orang berbanding dengan 16.72 juta pada suku ketiga tahun lalu.

Bagi kadar pengangguran mengikut negeri, Selangor dan Kedah mencatatkan kadar pengangguran terendah, iaitu 1.7 peratus pada suku tahun keempat 2024 diikuti oleh Melaka (1.8 peratus), serta Johor dan Pulau Pinang masing-masing pada kadar 2.2 peratus.

Sembilan negeri mencatatkan peningkatan dalam KPTB yang menandakan penyertaan buruh yang lebih tinggi dalam pasaran kerja.

Selangor merekodkan KPTB tertinggi pada 76.4 peratus diikuti oleh Kuala Lumpur (74.9 peratus) dan Pulau Pinang (73.2 peratus).

Sementara itu, beliau menyatakan bahawa pada bulan Disember 2024, bilangan tenaga buruh terus menunjukkan trend peningkatan dengan pertumbuhan 0.1 peratus kepada 17.32 juta orang berbanding dengan 17.29 juta pada bulan November 2024.

Datuk Seri Dr. Mohd Uzir turut memaklumkan bahawa kadar pengangguran bagi bulan Disember mencapai tahap terendah dalam tempoh 116 bulan, iaitu 3.1 peratus dengan 544,300 penganggur direkodkan.

Kadar 3.2 peratus dicatatkan pada bulan November 2024 dan kali terakhir kadar pengangguran 3.1 peratus dicatatkan adalah pada bulan Mei 2015.

Secara keseluruhan, prestasi positif pasaran buruh Malaysia pada tahun 2024 mencerminkan daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran global dan keupayaan untuk terus berkembang dengan kukuh.

Jelas beliau,

Oleh itu, pasaran buruh terus menunjukkan prestasi baik dengan kadar pengangguran menurun dan guna tenaga kekal stabil pada Disember 2024.

Tambah Datuk Seri Dr. Mohd Uzir , guna tenaga dalam sektor perkhidmatan meningkat, khususnya dalam perdagangan borong dan runcit, hiburan, serta penginapan dan makanan.

Pada masa yang sama, sektor pembuatan, pembinaan, dan pertanian mencatatkan pertumbuhan positif, manakala sektor perlombongan dan kuari menunjukkan penurunan.

Kredit Foto: DOSM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi